Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan Rang Undang- Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua,
- Kerajaan MADANI ini menunjukkan secara jelas bahawa keutamaan negara sekarang adalah menuju kepada memangkin pembangunan mampan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi hijau dengan menongkah ke arah pengurusan peralihan tenaga dan kecekapan tenaga dan mendepani isu-isu terkait perubahan iklim.
- Rang undang-undang dilihat membawa pendekatan ekonomi hijau yang holistik menerusi kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi hidrogen, tenaga bio, mobiliti rendah karbon, penyimpanan tenaga, penangkapan karbon, pembiayaan hijau, dan sosial dan tadbir urus (ESG). Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Setiawangsa yang juga Menteri yang bertanggungjawab kerana berjaya mencapai satu lagi batu penanda dalam proses Pelan Peralihan Tenaga.
- Selepas berdekad rakyat ditawarkan dengan tenaga yang tidak menggambarkan kos sebenar, sudah tiba masanya kita meletakkan harga yang munasabah kepada tenaga kita. Tenaga adalah kurniaan yang tidak ternilai harganya. Sepatutnya kita sayang kepenggunaan tenaga, seperti mana kita juga sayang kepada isteri, anak dan kawan kita.
- Saya sedar bahawa RUU ini akan meliputi sektor industri yang berpenggunaan tenaga tinggi dulu. Sektor industri menggunakan tenaga sebanyak 49%, diikuti dengan komersil (27%) dan perumahan (24%). Keutamaan kepada industri ini tepat, namun saya juga berpendapat bahawa kita boleh mempersiapkan masyarakat menjelang zaman harga tenaga yang hijau dan tidak lagi murah.
- Antaranya, Kerajaan harus lebih giat mempromosikan program- program yang menggalakkan penggunaan perkakas elektrik yang cekap tenaga seperti Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penggunaan perkakas elektrik yang menjimatkan tenaga
- Saya ingin mencadangkan Kerajaan untuk menambah senarai peralatan eletrik cekap tenaga di bawah SAVE, seperti yang disenaraikan oleh EU commission seperti lampu, pembersih hampagas, pelayan computer (server computer), dan sebagainya sebagai satu langkah untuk mengalakkan lebih banyak pembelian peralatan eletrik cekap tenaga.
- Kerajaan perlu mewujudkan garis panduan dan jangkaan masa peralihan untuk semua sektor perindustrian menggunakan peralatan- peralatan yang menyokong penggunaan cekap tenaga. Petaling Jaya ingin bertanya : Apakah Roadmap Kecekapan dan Konservasi Tenaga, bilakah sektor perniagaan dan perumahan juga akan dilibatkan dalam program konservasi tenaga ini?
- Petaling Jaya juga ingin mengetahui bahawa apakah kesan pelaksanaan RUU ini jika berbanding dengan negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Singapura? Saya sedar kita telah jauh ketinggalan berbanding dengan mereka, maka langkah dan rentak adalah penting supaya kita dapat “play the catch up game”, dengan izin.
- Saya menerima maklum balas bahawa bil elektrik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telahpun naik. Saya ingin mencadangkan supaya geran ataupun sokongan teknikal diberikan kepada PBT yang mengamalkan amalan baik konservasi tenaga supaya di samping mereka mencapai penjimatan tenaga, mereka juga mendapat ganjaran untuk menaiktaraf sistem pengurusan tenaga mereka.
- Kesimpulannya, saya berharap dengan RUU ini akan dapat membantu Kerajaan meningkatkan kecekapan tenaga sebagai strategi penting bagi mencapai sifar karbon lebih awal dan mengurangkan penggunaan tenaga secara lestari.
Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.
PETALING JAYA MOHON MENYOKONG.