PENGELUARAN UMPAMA MEMBUNUH ANGSA BERTELUR EMAS
KWSP PERLU KAJI DIVIDEN BERTINGKAT DAN TINGKAT PELABURAN LUAR
Saya merujuk kepada seruan beberapa pihak supaya mengizinkan pencarum-pencarum untuk membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.
Adalah dimaklumkan bahawa pengeluaran beberapa kali sebelum ini di bawah nama i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telahpun mengurangkan kemampuan ramai pencarum untuk berhadapan dengan kos kehidupan mereka selepas mencapaia umur persaraan. Namun keputusan pada ketika itu adalah perlu kerana rakyat jelata berhadapan dengan kemelut ekonomi dan krisis kesihatan COVID-19.
Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 6.67 juta ahli KWSP ataupun 51.5% hanya mempunyai simpanan di bawah RM10,000[1]. Nilai ini adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan sasaran RM240,000 untuk simpanan asas. Pengeluaran berterusan adalah umpama membunuh angsa bertelur emas. Ianya bukan sahaja melepaskan peluang untuk menambahkan aset pencarum, malah juga memerlukan antara 3 hingga 5 tahun untuk paras simpanan kembali ke paras asal.
Di samping itu, untuk menangani isu majoriti pencarum mempunyai simpanan yang rendah, saya ingin membuat tiga cadangan, iaitu:
- Pelaksanaan dividen bertingkat (Tiered Dividend). Dasar ini akan memberikan dividen yang paling tinggi kepada caruman simpanan RM50,000 pertama, simpanan RM50,000 hingga RM240,000 (sasaran simpanan asas), dan simpanan RM240,000 ke atas. Jika pencarum mempunyai simpanan lebih RM1 juta, beliau masih boleh mendapat dividen yang tinggi untuk RM50,000 simpanannya.
- Meningkatkan mandat pelaburan luar. Pada tahun 2021, KWSP mencapai pulangan 8.64% untuk pelaburan antarabangsa, manakala pulangan pelaburan tempatan hanya sekadar 5.02%[2]. Peningkatan mandat pelaburan di peringkat antarabangsa akan menjadikan KWSP lebih produktif, di samping lebih profesional.
- Menghadkan pengeluaran selepas mencapai umur 55 tahun mengikut jumlah caruman serta mengambil kira keperluan persaraan.
Daripada menumpukan perdebatan sama ada pengeluaran tambahan harus dibenarkan, saya berpendapat lebih baik semua pihak menumpukan cara untuk mencukupkan caruman apabila jutaan pencarum kita mencapai umur persaraan. KWSP sebagai pelaksana wajar tumpukan tenaga mereka untuk meningkatkan pulangan dan memberikan kesedaran/kecelikan dalam pengurusan persaraan rakyat kita.
YB Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Petaling Jaya
[1] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1055526/simpanan-asas-wajar-pada-usia-55-tahun-adalah-rm240000-%E2%80%93-kwsp
[2] https://www.asianinvestor.net/article/epf-to-continue-foreign-asset-push-after-solid-year/468057