Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang merupakan perbahasan sulung saya sebagai ahli Dewan yang mulia ini.
Di dalam perbahasan yang pertama ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pengundi-pengundi di P105 Petaling Jaya kerana telah memberi kepercayaan kepada saya. Tanggungjawab ini adalah besar. Justeru, saya akan terus komited dan terus berkhidmat demi warga Petaling Jaya.
Saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah buat Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Tambun yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-10 serta kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.
Tuan Yang di-Pertua,
- Sebagai wakil rakyat, saya ingin menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara memerlukan halatuju yang stabil.
- Kita sedar Malaysia mengalami kelembapan pertumbuhan ekonomi selama dua dekad ini. Pertumbuhan tahunan KDNP mengikut 5 tahun purata diperlahankan daripada 6% pada tahun 2007 kepada 4.9% tahun 2020.
- Prestasi peningkatan gaji pekerja lebih teruk.Dari tahun 2011 sehingga 2020,gaji hanya tumbuh sebanyak 1.9% setahun, prestasi yang antara paling teruk di rantau ini. Peluang perniagaan yang makin terhad mengakibatkan ramai menceburi dalam bidang pekerjaan Gig yang kurang prospek pembinaan kerja. Berdasarkan Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia dari 1 Mac hingga 31 Disember 2022 ke atas 6,657 pekerja p-hailing, menunjukkan bahawa 97.71% pekerja p-hailing adalah belia.
- Selain itu, model ekonomi kita telahpun diubah daripada yang berasaskan pengeluaran kepada penggunaan, ataupun ‘production-based economy to consumption-driven economy’, dalam tempoh 20 tahun ini. Malah, sektor pembuatan telahpun diabaikan. Nisbah pembuatan kepada KDNK adalah setinggi 30.9% pada tahun 1999, namun menurun secara berterusan kepada 23.5% menjelang tahun 2021.
- Di bawah model ekonomi berasaskan penggunaan ini, hutang rakyat terus meningkat dan meningkat, sebaliknya simpanan rakyat terus menyusut. Dalam sejarah dunia, tidak ada sebuah negara bersaiz sederhana yang dapat mencapai status negara maju tanpa industri pembuatan eksport yang maju dan berteknologi tinggi.
Tuan Yang di-Pertua,
- Sebagai langkah pertama, kita wajar menilai dan merangka semula kluster industri kita, iaitu taman industri kita sesuai dengan keperluan industri semasa.
- Sebagai contoh, kawasan industri Petaling Jaya. Sejarah ulungnya adalah zon ini merupakan antara kluster elektronik yang pertama di Selangor. Penghuninya termasuk nama-nama besar seperti Flextronics, Motorola, Panasonic dan Western Digital. Namun hari ini, nama-nama besar ini telah hilang di kaca mata rakyat. Kilang-kilang di kawasan tersebut telah digantikan dengan kondominium mewah dan kompleks komersil.
- Saya menggesa EPU, MITI, MOSTI dan PLANMalaysia bekerjasama untuk melihat semula pembangunan kluster-kluster industri. Majukan lagi kluster E&E di Pulau Pinang, kluster automotif di jajaran Tanjung Malim dan Hulu Selangor, kluster teknologi tinggi di MRANTI, kluster industri berat di MCKIP, dan mewujudkan kluster-kluster baru mengikut industri yang strategik.
- Sesuai dengan kelebihan Petaling Jaya yang sedia ada, Saya turut mencadangkan supaya membangunkan kawasan industri di PJ sebagai taman industri yang berteknologi tinggi dengan menumpukan kepada R&D E&E, robotik, automasi, IT dan teknologi hijau.
Tuan Yang di-Pertua,
10.Saya ingin menekankan di sini bahawa pertumbuhan produktiviti pekerja hanya boleh dicapai melalui penggunaan teknologi, dan dalam dalam kes ini adalah robot. Mengikut Laporan Centre for Economic Performance LSE 2018, setiap unit tambahan kepadatan robot akan menyumbang kepada pertumbuhan 0.36% dalam produktiviti pekerja.
11.Hakikatnya, untuk tahun 2019, daripada 10,000 pekerja, Malaysia hanya ada kepadatan robot sebanyak 55 unit. Pada tahun 2016, China hanya ada 66 unit robot daripada 10,000 pekerja. Hari ini, China telah mencapai 322 unit robot. Jika China mampu lakukan, begitu juga Malaysia. Maka, sejajar dengan Malaysia Robotic Roadmap usahawan 2021-2030, saya mencadang MITI, MEDAC dan MOSTI bekerjasama untuk memberikan insentif kepada usahawan dan industri dalam perjalanan automasi mereka.
12.Dalam pelbagai inisiatif kita untuk meningkatkan gaji rakyat, jangan pula lupakan usaha rahmah kita untuk mengurangkan kos sara hidup. Kelmarin, ada pimpinan pihak sana yang menyindir Program Menu Rahmah, iaitu kerjasama kerajaan dan swasta untuk menyediakan makanan pada harga berpatutan iaitu RM5. Dikatakan kononnya mereka yang makan masakan Menu Rahmah ini bakal menghidapi
kanser dan autisme. Saya beranggapan pandangan ini amat tidak berasaskan sains, malah telah mengguris hati ibu bapa yang mempunyai anak austisme. Ianya juga memperlekehkan usaha penjaja-penjaja yang secara sukarelanya ingin menyumbang dan membantu rakyat. Tidak apa sekiranya nak berkritik, tetapi jangan mendukung politik melampau dan tidak berasas.
13.Selain itu, saya menyokong penuh bahawa sektor pertanian wajar diliberalisasikan supaya ditanda aras dengan harga dunia. Ramai yang salah bertanggapan bahawa jaminan makanan bererti kita mesti menanam segala tanaman di negara kita. Ianya kurang tepat. Dasar jaminan makanan akan menjadi lebih berdaya apabila kita mempelbagaikan sumber import, tetapi untuk tanaman-tanaman strategik, barulah kita mengekalkan pengeluaran di dalam Malaysia.
14. Saya turut difahamkan wujudnya oligopoli pengeksport daging dan beberapa jenis hasil makanan. Mengikut Laporan Market Review on Food Sector under Competition Act 2010 (2019), hasil kajian menunjukkan bahawa pasaran import dikuasai oleh beberapa pemain sahaja. Amat kurangnya pengeksport yang diberikan kelulusan di negara asing kerana syarat-syarat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JVS) dan JAKIM adalah terlalu ketat. Akibatnya, kadar peningkatan harga jualan daging kerbau di pasaran Malaysia menjadi lebih tinggi daripada harga di India. Kajian juga mendapat bahawa ikan kembung, sawi mengalami isu pengedar (wholeseller) yang menguasai pasaran. Persoalan saya, apakah langkah yang diambil oleh Kementerian Pertanian berdasarkan laporan MyCC tersebut?
Tuan Yang di-Pertua,
15.Saya juga ingin menyentuh satu aspek penting yang penting iaitu pengangkutan awam dan kemudahan lestari. Ia merupakan salah satu agenda #PJLestari yang dimanifestasikan di bawah kawasan parlimen Petaling Jaya dan semestinya diharapkan diperlebar di seluruh negara.
16.Kajian Tomtom menerangkan bahawa pemandu di Kuala Lumpur telah membazirkan 159 jam tahun lepas di atas jalanraya, yang sebaliknya boleh digunakan untuk menghabiskan 31 buku dengan penjimatan petrol sebanyak RM1,023. Ini tidak termasuk pemilikan kereta dengan ansuran bayaran antara RM500 hingga RM1,000 sebulan. Alangkah baik sekiranya kita semua boleh hidup tanpa membayar ansuran kereta dan tidak diheret dalam kesesakan lalulintas yang semakin teruk di bandar?
17.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memuji Menteri Pengangkutan YB Seremban yang telah menyediakan bas perantara parlimen yang membolehkan kita mengambil bas transit dari KL Sentral untuk tiba di August House yang mulia ini. Saya ingin menggalakkan rakan-rakan saya serta petugas-petugas dewan ini supaya mula menggunakan kemudahan tersebut sebagai langkah pertama untuk menyokong kegunaan pengangkutan awam.
18.Aspirasi ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak iaitu Kementerian Pengangkutan, Prasarana, MRT Corp dan Kerajaan tempatan supaya kesalinghubungan batuan terakhir dapat diselesaikan.
19. Saya mencadangkan supaya konsep BUS MINI yang amat berjaya dulu dikaji dan dihidupkan semula. Prasarana dan APAD wajar mengutamakan kesalinghubungan pengguna. Bagi laluan yang ada potensi menjana pendapatan, libatkan usahawan-usahawan swasta yang berminat. Pihak yang bertanggungjawab wajar tumpu kepada pengalaman perjalanan, umpamanya perhentian bas, lorong pejalan kaki dan basikal yang mudah dan selamat, memudahcarakan penggunaan PMD, dan pastikan majoriti pengguna boleh tiba di satu destinasi dalam lingkungan 45 minit.
Tuan Yang di-Pertua,
20. Rentetan isu yang digariskan sebentar tadi, saya juga ingin menyentuh satu aspek penting tentang hubungkait perubahan iklim dan pembangunan lestari.
21.Melihat kepada dinamik perubahan iklim dan pemanasan global akhir-akhir ini turut memerlukan suatu hala tuju dan dasar yang tuntas oleh pihak kerajaan. Bagi menjadikan agenda ini sebagai keutamaan dan kepentingan negara, kerajaan perlu mempercepat pertumbuhan hijau dan mempertingkat kemampanan tenaga dengan memanifestasikan elemen ESG, iaitu alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Ini akan menjadikan teras kepada pembangunan sosioekonomi negara.
22.Berpaksikan kepada visi untuk menjadikan Malaysia Lestari 2030 dan sebagai negara neutral karbon seawal tahun 2050, negara perlu sekurang-kurangnya mencapai sasaran penjanaan tenaga diperbaharui sebanyak 40% seawal tahun 2035. Dalam sektor tenaga solar, beberapa isu yang perlu diberikan perhatian oleh kementerian adalah:
- a) Kementerian Kerjaraya harus membuat penghitungan atas JUMLAH keluasan bumbung yang ada pada semua bangunan kerajaan, serta bidang-bidang yang boleh dipertingkatkan potensi penjimatan tenaga. Pembidaan untuk projek- projek ini dijangka dapat memangkin industri tenaga baru tanpa sebarang perbelanjaan kerajaan.
- b) Untuk projek solar perumahan, SEDA harus memberikan unjuran kuota NEM dengan jangka masa yang lebih panjang, dan MOF wajar memberikan rebat cukai persendirian kepada pemilik tersebut.
- c) Pemprosesan lesen pemasangan awam (untuk NEM) dan swasta (untuk kegunaan sendiri) Suruhanjaya Tenaga masih lambat, dan jumlah kes untuk kelulusan dilihat telah dihadkan setiap bulan.
- d) Projek solar industri dan komersil amat bergantung kepada Green Investment Tax Allowance (GITA) oleh MIDA, maka masa untuk mendapatkan kelulusan adalah penting kerana syarikat tidak boleh mengeluarkan invois sebelum mendapatkan surat perakuan daripada MIDA. Saya difahamkan surat perakuan tersebut kadang mengambil masa 2 hingga 6 bulan dan ini telahpun menjejaskan aliran tunai syarikat secara unnecessary, dengan izin.
23. Bagi menggerakkan usaha ini di peringkat Parlimen, saya juga telah mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Dato’ Johari Bin Abdul pada 12 Januari 2023, dan telah mencadangkan kepada beliau mengenai penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Perubahan Iklim dan Pembangunan Lestari. Usul tersebut dibuat bagi membantu kerajaan merangka satu hala tuju yang jelas untuk mendepani kemelut perubahan iklim dengan lebih holistik.
Tuan Yang di-Pertua,
Sebelum menutup tirai ucapan perbahasan saya, izinkan saya mengungkapkan serangkap pantun untuk renungan kita bersama.
Air mengalir dalam terusan,
Mengairi sawah beratus relung,
Malaysia MADANI pencetus gagasan perpaduan, Negara muafakat rakyat gemilang.
Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.
Saya menjunjung penuh titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Saya mohon menyokong.