Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua,
- Sebagai wakil rakyat, saya berpendapat bahawa Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri Ke-2 ini adalah cerminan tatakelola pengurusan yang kurang memberangsangkan serta perbelanjaan kewangan negara yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana berlakunya pembaziran, pembayaran tidak teratur serta kehilangan/kerugian wang awam yang berlaku akibat pengurusan dan kawalan dalaman yang tidak teratur dan sistematik, hingga tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
- Merujuk kepada laporan audit di bawah Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, dibawah skop Pengurusan Pendaftaran Penerima Vaksin Covid-19 dan Aplikasi MySejahtera, laporan mendedahkan bahawa terdapat pembaziran vaksin dan ventilator yang signifikan. Hal ini menunjukkan kegagalan dalam proses perolehan dan pengurusan sumber-sumber kesihatan yang penting.
- Pertama sekali, pembaziran ventilator sebanyak RM 13.07 juta adalah kerugian yang besar. Ventilator yang diterima tidak memenuhi keperluan dan tidak selamat untuk digunakan oleh pesakit. Hanya sebahagian kecil daripada jumlah ventilator yang boleh digunakan dengan selamat, manakala sebahagian besar yang lain tidak memenuhi standard keselamatan. Hal ini menimbulkan risiko kepada kesihatan pesakit dan menunjukkan kelemahan dalam proses perolehan peralatan kesihatan.
- Selain itu, terdapat juga kelewatan dalam menyelesaikan masalah vaksin yang telah luput tempoh. Sebanyak 1.10 juta dos vaksin telah tamat tempoh setakat bulan April 2022, tetapi tiada penyelesaian yang jelas dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketidaktentuan ini menyebabkan pembaziran sumber yang berharga.
- Kedua-dua isu ini menunjukkan kekurangan dalam pengurusan dan pengawasan sumber kesihatan oleh pihak KKM. Oleh itu, langkah-langkah perbaikan yang segera perlu diambil untuk memastikan proses perolehan, penyimpanan, dan pengurusan vaksin serta peralatan kesihatan dilakukan dengan cekap dan efektif.
- Saya tidak terkejut jikalau isu ini masih berlarutan terjadi jika tiada perubahan drastik dilakukan untuk menambahbaik tatakelola di bawah KKM. Oleh itu, KKM perlu melaksanakan strategi pengurusan sumber yang lebih strategik agar lebih resilient pada masa depan.
- Saya juga ingin menyorot isu yang timbul dengan aplikasi MySejahtera. MySejahtera adalah aplikasi yang penting dan terus digunakan sebagai perintis rekod kesihatan elektronik (EMR), dan ia juga mengandungi 15 modul untuk kegunaan masa depan, seperti fungsi temu janji rawatan.
- Oleh itu, keselamatan sistem aplikasi MySejahtera sangat penting bagi semua rakyat Malaysia, namun dari hasil audit, terdapat beberapa isu yang perlu diatasi.
- Pertama, terdapat kekurangan dalam pengurusan akaun individu yang telah meninggal dunia. Walaupun dinyatakan bahawa MySejahtera tidak mempunyai integrasi dengan sistem Jabatan Pendaftaran Negara, saya berasa bahawa Penting untuk memiliki aplikasi seperti MySejahtera sebagai satu aplikasi untuk jangka masa panjang dengan lebih banyak fungsi.
- Masalah kepercayaan data dan ketepatan tarikh juga menjadi perhatian. Jika rekod kesihatan vaksinasi untuk bayi dilaksanakan secara meluas pada masa depan, laporan ketua audit negara menunjukkan bahawa pengurusan data rekod kesihatan masih kurang berkesan dan memuaskan. Oleh itu, saya menyarankan bahawa usaha untuk menyempurnakan aplikasi MySejahtera yang digunakan oleh KKM untuk informasi vaksinasi dan temujanji di klinik kesihatan adalah penting.
- Usaha untuk menyempurnakan aplikasi MySejahtera juga penting untuk menangani isu keselamatan sistem kerara terdapat banyak scam case yang berkaitan dengan kebocoran informasi kad pengenalan (IC) dan nombor telefon, tetapi kebocoran oleh superadmin tidak dijelaskan dengan terperinci, dan ini menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan.
- Oleh sedemikian, untuk mengelakkan masalah sebegini berulang lagi, saya mencadangkan agar MySejahtera menjalankan housekeeping dan menghapuskan akaun yang berkaitan dengan individu yang telah meninggal dunia bersama dengan JPN. Ini penting untuk menjaga keselamatan data dan memastikan aplikasi ini tidak disalahgunakan oleh individu untuk mendapatkan vaksinasi dan rawatan pada masa depan.
- Semua usaha yang telah disebutkan di atas merupakan langkah-langkah penting bagi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.
- Komuniti yang lebih efisien dan cekap dalam menjaga kesihatan, akan membina masa depan yang lebih baik untuk kita semua.
Tuan Yang di-Pertua,
- Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk menyentuh satu perkara yang lebih fundamental, iaitu kaedah perakaunan kerajaan. Saya berpendapat bahawa pembaziran dapat dielakkan sekiranya kita menggunakan kaedah perakaunan akruan dan mengganti kaedah perakaunan tunai (cash accounting).
- Perakaunan akruan mengiktiraf dan merekodkan urus niaga pada masa urus niaga berlaku. Semua aset dan liabiliti juga diperakaunkan di bawah perakaunan akruan. Semua urus niaga tersebut dilaporkan di penyata kewangan bagi tempoh tahun kewangan yang sama.
- Kaedah perakaunan akruan merupakan asas perakaunan bagi pelaporan kedudukan dan prestasi Kerajaan yang lebih tepat dan telus. Kepenggunaan perakaunan akruan akan menyumbang kepada pengurusan fiskal yang lebih cekap dan berkesan.
- Cadangan pelaksanaan perakaunan akruan adalah selaras dengan Dasar Transformasi Sektor Awam dalam Model Baru Ekonomi, pelaksanaan Outcome Based Budgeting (OBB) dan inisiatif SRI Public Finance. Selepas itu, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) boleh mengeluarkan Piawaian Perakaunan Sektor Awam Malaysia (MPSAS) yang berasaskan International Public Sector Accounting Standard (IPSAS).
Tuan Yang di-Pertua,
- Perakauanan yang baik akan menjurus kepada audit yang baik, dan seterusnya membawa kepada pengurusan kewangan yang baik. Pembaziran dan penyelewangan sumber Kerajaan akan kekal sekiranya tidak ada keazaman politik untuk mereformasikan sistem perakaunan kita. Semua sektor swasta di Malaysia menggunakan perakaunan akruan. Kerajaan-kerajaan berikut juga telah melaksanakan sistem perakaunan akruan: Iceland (1992), New Zealand (1992), Sweden (1994), Australia (1995), Amerika Syarikat(1998), United Kingdom (2000) dan Kanada (2002).
- Maka saya ingin memohon supaya Ketua Audit Negara segera mengesyorkan kepada Jabatan Akauntan dan Kabinet supaya mengguna pakai perakaunan akruan dalam masa terdekat. Di samping itu, ianya juga boleh membantu Jabatan Audit mengemaskini kaedah dan pendekatan pengauditan supaya ianya lebih moden, cekap dan bantu memartabatkan kapasiti pegawai kita.
Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.
Terima kasih.