16 Okt 2023 – Teks Bahas Belanjawan 2024

16 Okt 2023 – Teks Bahas Belanjawan 2024

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan yang mulia ini.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di atas pembentangan Belanjawan 2024 di bawah Kerajaan Perpaduan yang Bertemakan ‘Ekonomi MADANI:

Memperkasa Rakyat.’

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana menjadi PBT yang pertama mendapat pengiktirafan Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung KanakKanak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada September 2023 yang lalu. MBPJ juga PBT pertama di Malaysia yang mempunyai Ahli Majlis Kanak-kanak. Majlis yang terdiri daripada 45 orang ini akan sentiasa memantau dasar serta belanjawan PBT agar bukan sahaja mematuhi kehendak dewasa, tetapi juga kanak-kanak. Saya berharap mutu perbahasan dan adab tertib ahli-ahli di dewan yang mulia ini tidak kurang daripada mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Pertamanya, saya menyambut baik usaha Ekonomi Madani yang sentiasa menitikberatkan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) kerana mereka inilah antara aset terpenting tunjang kepada ekonomi negara. 
  2. PMKS menyumbang 97% daripada semua perniagaan di Malaysia dan 48% jumlah penggajian pekerja, tetapi hanya menyumbang 37% kepada KDNK negara, 12% eksport, dan 0.1% pertumbuhan produktiviti. Sekiranya PMKS lembap, maka separuh gaji pekerja di Malaysia tidak akan naik, dan keadaan ini pasti tidak dapat membantu kita menuju ke arah negara berproduktiviti dan berpendapatan tinggi. 
  3. Melihat kepada Belanjawan 2024, Kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM44 bilion di bawah MOF, MITI, KUSKOP, KKD dan KPLB dan di bawah pelbagai agensi seperti Bank Negara, BSN, TEKUN, Khazanah, SJPP, Amanah Ikhtiar, MDEC, MARA, SMECorp, dan banyak lagi.
  4. Laporan Bank Dunia mengesahkan bahawa dalam tempoh 2016 hingga 2019, lebih 270 program sokongan PKS yang berbeza telah dilaksanakan oleh lebih 80 agensi daripada pelbagai kementerian.[1]
  5. Tahun 2019 sahaja, 71 agensi yang berbeza termasuk jabatan, agensi kerajaan dan syarikat GLC telah menjadi penyelia pelaksanaan program sokongan PKS dan usahawan di seluruh negara. 
  6. Dari sudut yang lain, saya mempunyai kegusaran tentang kementerian mana, dan agensi apa yang sebenarnya dikhususkan untuk menjaga PMKS/SME. Persoalan lebih pokok adalah, adakah pembentukan institusi lama masih relevan dalam menghadapi cabaran masa depan?
  7. Kita semua sedar bahawa hanya tembakan yang bersasar akan “hit the target”, sebaliknya tembakan rambang tidak akan terkena apaapa. Memandangkan program yang bersasar akan membawa impak maksimum, mengapakah kita masih berjinak-jinak dengan tetapan institusi lama yang terbukti tidak mampu memartabatkan PMKS kita selama ini.
  8. Saya ingin mengesyorkan kepada kabinet konsep “pusat sehenti PMKS”. Perkasa dan perluaskan SMECorp yang dilihat lebih lengkap ekosistem sokongannya untuk merangkumi segala urusan dan bantuan PMKS, dan meletakkan SMECorp di bawah sebuah kementerian. PMKS kita boleh membuat permohonan bantuan melalui satu portal online secara telus, cekap dan profesional. Melalui pusat sehenti ini, mereka juga boleh terdedah dengan rantaian bekalan antarabangsa, menjadi pembekal/vendor kepada MNC, dan terlibat dalam dunia eksport. Agensi-agensi lain harus disepadukan di bawah konsep pusat sehenti bagi mengoptimakan operasi kerajaan.
  9. Saya juga sedar bahawa tetapan institusi lama adalah berhajat untuk membantu PMKS bumiputera. Ini merupakan satu aspirasi murni yang dikongsi semua, namun kaedah lama terbukti tidak mencapai matlamat yang diikhtiarkan. 
  10. Dapatan ini disahkan oleh hasil kajian Institusi Masa Depan Malaysia (MASA) yang mana PAGOH memegang jawatan Pengerusi dan Putrajaya menjadi Ahli Lembaga Pemegang
    Amanah.[2] “Laporan Awal Status Sosio-Ekonomi Bumiputera” yang diterbitkan pada tahun 2019 menyebut bahawa matlamat mencapai 30% ekuiti sudah tidak begitu tepat. Sebaliknya penglibatan secara langsung dengan aktiviti komersial dan perindustrian adalah penting –  demi menjana nilai-tambah, mewujudkan peluang perkerjaan dan vendor, serta membangunkan kluster dan rangkaian bekalan, dan ekosistem ekonomi Bumiputera.
  11. Jika ini dibaca bersama dengan kelembapan produktiviti, nilai tambah dan daya eksport keseluruhan PMKS di Malaysia, kita dapat menyimpulkan bahawa:
    1. Kerajaan wajar membantu bumiputera PMKS melalui kaedah menaiktarafkan nilai tambah, produktiviti dan rangkaian bekalan mereka, dan bukan terus memberikan geran, kelengkapan dan pinjaman sahaja.
    1. Kerajaan wajar meraikan sokongan dan bantuan PKMS tanpa mengira “warna kulit” PKMS agar daya saing PKMS dapat dipertingkatkan secara lebih drastik.
  12. Pendekatan baru ini akan dapat mengantarabangsakan PMKS kita, dan akhirnya turut akan bantu mewujudkan PKMS Bumiputera yang lebih berdaya saing. PKMS yang berdaya saing juga dapat menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada pekerja, yang mana majoriti juga adalah Bumiputera.
  13. Semoga pendekatan baru ini dapat menumpukan usaha kita semua untuk memperkasakan PMKS dari Johor ke Kedah, dari Kelantan ke Borneo. Saya yakin anjakan ini juga dapat melahirkan lebih banyak jaguh seperti Aerodyne Group milik Kamarul, Skychip milik Sk Fong, dan Russell Taylor milik Satish Kumar. Seperti apa yang dikongsikan oleh Kamarul Aerodyne dalam wawancara, beliau tidak pernah mendapat bantuan kerajaan kerana beliau adalah seorang entrepreneurs dan bukan “Grantprenuers”. Karenah birokrasi, pilih kasih dan ketidakcekapan telahpun menggagalkan usaha kita sebelum ini – Yang dapat geran tidak berdaya, yang tidak dapat selalunya berjaya.
  14. Saya juga mencadangkan agar bukan sahaja program bantuan PMKS, malah kesemua program kerajaan harus dinilai keberkesanan mereka oleh pihak audit luaran. Sebarang program besar wajar memperuntukkan 0.5% belanjawan untuk tujuan “evaluation by third party”, dengan izin.
  15. Saya turut berhadap apabila anjakan paradigma ini berlaku, ianya turut akan disokong oleh pembangkang dan tidak dipermainkan sentimen perkauman, kerana Pagoh dan Putrajaya juga senadi dalam hal ini. 

    Tuan Yang di-Pertua,  
  16. Saya juga mengalu-alukan langkah penggabungan Bank Pembangunan Malaysia, SME Bank dan Exim Bank. Seperti yang dinyatakan dalam The Edge3, Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) dilihat mempunyai standard dan amalan tadbir urus korporat yang lemah, meskipun banyak daripada mereka sekarang menjalankan perniagaan yang sama seperti bank komersial. 
  17. Memang DFI perlu diperketatkan tadbir urus mereka kerana mereka menggunakan dana awam iaitu duit rakyat. Saya berharap bahawa Insiden yang mana bekas Pengurus Pengarah Bank Pembangunan diheret ke mahkamah atas pinjaman RM400 juta yang diragui tidak akan, dan tidak boleh berlaku lagi4.
  18. Di samping itu, saya juga menggesa Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti supaya menimbang semula supaya mengeluarkan lesen-lesen bank yang boleh menawarkan perkhidmatan kepada PMKS
  19. Selepas krisis ekonomi melanda Malaysia pada tahun 1998, bekas Menteri Kewangan mengarahkan penutupan dan penggabungan bank-bank kecil, sekaligus mengurangkan bank dari 22 buah tahun 1990 kepada hanya 10 menjelang 2022. Syarikat kewangan juga dikurangkan daripada 45 kepada 10. 
    10 September 2019
    https://theedgemalaysia.com/article/bank-pembangunan-sues-former-md-plus-26-others-fraud-and-bribery
  20. Akibatnya, PMKS makin sukar mendapat pinjaman atas alasan mereka tidak “layak”, padahalnya bank-bank besar lebih cenderung meminjam kepada korporat besar kerana lebih selamat dan tidak perlu mengendalikan kertas kerja dan penilaian yang rumit. 
  21. Saya berpendapat walaupun bekas Menteri Kewangan tersebut berjaya menguruskan empayar perniagaan perbankan beliau sehingga ke Afrika, rasional untuk menyekat lesen perbankan sudah tidak lagi relevan. Sudah tiba masanya BNM mengeluarkan lesen-lesen bank supaya sektor PMKS boleh mendapat akses kepada modal dan merancakkan pengembangan/automasi perniagaan mereka. 

    Tuan Yang di-Pertua,
  22. Keduanya, tentang EV. saya melihat dasar Belanjawan 2024 ini menunjukkan bahawa Kerajaan komited untuk memacu pertumbuhan negara yang mampan dengan menekankan langkahlangkah insentif yang menyokong pertumbuhan ekosistem EV yang kondusif kearah negara berpendapatan tinggi.
  23. Justeru, saya amat menyambut baik inisiatif Kerajaan yang memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik untuk pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada rakyat yang berpendapatan tahunan RM120 ribu ke bawah. 
  24. Hal ini kerana Malaysia mempunyai hampir 13 juta pengguna motorsikal dari sebahagian populasi penduduk sekitar 33 juta. Malaysia juga merupakan negara ke-4 tertinggi di dunia yang mencatatkan 83% isi rumah memiliki sekurang-kurangnya satu motorsikal[3].
  25. Rebat tersebut akan menjadikan bahawa motorsikal elektrik masih dalam kategori mampu milik dan praktikal untuk digunakan kemanamana destinasi sekalipun dalam aliran trafik yang sesak. 
  26. Memandangkan mobiliti hijau menjadi antara bidang fokus di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara bagi menggerakkan industri ‘High Growth, High Value (HGHV)’, Kementerian Kemajuan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus memudahcarakan penempatan infrastruktur pengecasan motosikal elektrik.
  27. Kementerian Kewangan (MOF) juga harus memanfaatkan perolehan awam yang mengutamakan motosikal elektrik.
  28. Selain itu, saya ingin mencadangkan agar Kerajaan dapat meneliti dan mempercepatkan proses pembinaan kemudahan supaya dapat menghalalkan penggunaan kenderaan mikromobiliti termasuklah ‘escooter’. Setakat ini, mikromobiliti seperti moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam masih dilarang digunakan di atas jalan kerana bertentangan dengan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah). Sandbox oleh MOT harus dipercepatkan, dan KPKT wajar meletakkan KPI supaya kemudahan sokongan e-ecooter dapat dibina dalam kadar segera bagi mengatasi masalah batuan terakhir pengangkutan awam kita.
  29. Justeru, dasar dan sokongan Kerajaan berbentuk infrastruktur serta insentif-insentif EV yang pelbagai pastinya menarik minat bukan sahaja rakyat, namun pelabur-pelabur asing oleh syarikat besar dan syarikat pemula untuk kekal produktif merancakkan pertumbuhan ekosistem EV di negara ini, selain untuk memastikan negara mampu mencapai karbon sifar seawal tahun 2050.

Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.

PETALING JAYA MOHON MENYOKONG. 


[1] https://documents1.worldbank.org/curated/en/099255003152238688/pdf/P17014606709a70f50856d07993 28fb7040.pdf

[2] https://institutmasa.com/wp-content/uploads/2023/01/Laporan-Awal-Status-Sosio-ekonomi-Bumiputera.pdf

[3] Pew Research Centre (2023).

Leave a Comment