18 Mac 2024 Teks Bahas RUU AUKU

18 Mac 2024 Teks Bahas RUU AUKU

TEKS UCAPAN PERBAHASAN RANG  UNDANG-UNDANG  UNIVERSITI  DAN  KOLEJ  UNIVERSITI (PINDAAN) 2023 OLEH YB TUAN LEE CHEAN CHUNG [PETALING JAYA]

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Gerakan mahasiswa mempunyai sejarah yang lama, dan detik- detik perjuangan ini sudah bermula sebelum merdeka. Ramai tokoh-tokoh pra-merdeka seperti Ibrahim Yaakob, mendapat kesedaran dan memulakan perjuangan di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Menerima semangat nasionalisme daripada Pendeta Zaba, beliau menjadi pengasas dan Presiden Kesatuan Melayu Muda.
  2. YAB Tambun juga merupakan seorang tokoh ternama dalam kontemporari pergerakan mahasiswa sejak tahun 70-an. Namun atas tindakan dan aksi beliau yang dilihat menggugat kuasa pemerintah, beliau dizalimi dengan Akta ISA, dan AUKU dipinda menjadi lebih ketat dan ketat selepas insiden tersebut. Kita harus mengakui bahawa bawah konteks sejarah mahasiswa kita yang kuat dan membara inilah kita mula bicarakan pindaan pada hari ini.
  3. Saya menyambut baik usaha Kerajaan untuk  menambah baik AUKU 1971 menerusi langkah-langkah memperkasa peranan kesatuan mahasiswa di dalam universiti dengan memberi kebebasan kepada mahasiswa menguruskan program dan aktiviti secara mandiri, selain diberi autonomi bersesuaian dengan keperluan masa kini.
  4. Dalam pada mahasiswa semakin aktif mendepani isu-isu hal ehwal pelajar dan menjadi pimpinan di universiti, saya kira ini masa yang tepat untuk mencipta semula naratif gerakan mahasiswa yang lebih bersifat aktivisme intelektual.

Tuan Yang di-Pertua,

  • Pertama, saya ingin memulakan perbahasan dengan menekankan pindaan yang cukup signifikan iaitu “Penggantian Seksyen 15A yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar boleh untuk membuat pungutan wang atau menerima sumbangan wang.
  • Ini juga turut disokong dengan Seksyen 48, iaitu Subseksyen 11A dan 11B dimana Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar diberi peranan untuk menyelenggara wang dan apa-apa harta mengikut tatacara  kewangan  Universiti. 
  • Perkara ini sudah tergantung berpuluh-puluh tahun, dan saya mengucapkan syabas kepada Kerajaan Madani kerana peka dengan keperluan mahasiswa untuk berperanan lebih dekat dengan masyarakat, kerana ini bakal mengubah landskap ekonomi, sosial dan politik mahasiswa yang berada dalam universiti pada masa ini.
  • Seharusnya mahasiswa tidak dikekang dan hanya bergantung pada pemberian dana universiti semata-mata. Kesatuan pelajar ini perlu dihormati sebagai rakan strategik kepada badan pentadbiran universiti.  Nafas baru ke atas autonomi mahasiswa ini dapat membantu Kesatuan Pelajar untuk menyelia aspek tadbir urus dan integriti, kebertanggungjawaban kepada kuasa eksekutif dan operasi kewangan yang  telus.
  • Sungguhpun begitu, tatacara kewangan ini masih tertakhluk di bawah Lembaga. Justeru, persoalan timbul apakah garis panduan tentang model Kesatuan Pelajar ini? Adakah Kesatuan Pelajar akan didaftarkan sebagai sebuah syarikat, pertubuhan persatuan atau kebajikan di bawah ROS, atau sebagai pertubuhan belia di bawah kendalian ROY, atau juga masih membawa konsep seperti Majlis Perwakilan Pelajar cuma dengan terma yang berbeza?
  1. Merujuk kepada Education Act 1994 di United Kingdom, punca kuasa Kesatuan Pelajar didaftarkan sebagai Syarikat Liabiliti Terhad, dan dikategorikan sebagai entiti kebajikan seperti yang termaktub di dalam  Companies  Act  2006  United  Kingdom.  Lembaga  Amanah  seterusnya diwujudkan  bagi melaksanakan  aktiviti-aktiviti berkaitan Kesatuan  Pelajar.
  1. Hasilnya, Kesatuan Pelajar mereka adalah bebas dan tidak terikat dengan tatacara universiti, melainkan jikalau ditubuhkan MOU di antara Universiti  dan  Kesatuan  Pelajar itu. Ini menimbulkan perhatian tentang:
  1. Apakah model kesatuan yang dilihat lebih bersesuaian untuk diaplikasi di universiti-universiti awam?
  2. Adakah pihak universiti masih mempunyai autonomi dalam mengawal selia pemungutan dan penyelenggaran kewangan Kesatuan Mahasiswa serta Badan Pelajar?
  1. Sungguhpun begitu, saya ingin menekankan bahawa apabila kita memberikan autonomi ini, mahasiswa perlu juga mengikuti garis panduan tatacara kewangan dengan berhemah dan memastikan tiadanya penyalahgunaan dana dan dari sumber-sumber yang meragukan. Pelaksanaan audit bebas keatas tabung Kesatuan Pelajar atau Badan Pelajar tersebut harus diwajibkan.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kedua, pindaan Seksyen 16B yang memperuntukkan bahawa hal ehwal tatatertib pelajar bukan lagi dibawah kuasa ‘Naib Canselor’, tetapi dibawah ‘Jawatankuasa Tatatertib Pelajar’. Ianya terdiri oleh sekurang-kurangnya 3 orang  ahli, iaitu Timbalan  Naib  Canselor  sebagai  pengerusi, dan  2 pekerja  Universiti  yang  dilantik  oleh  Lembaga.
  1. Saya memuji langkah Kementerian untuk ‘decentralize’ kuasa menyelia tatatertib pelajar yang asalnya berpusat pada Naib Canselor, dan dipindahkan kepada Jawatan kuasa tersebut. Ini dapat memastikan urus tadbir yang lebih telus dan mengelakkan risiko penyalahgunaan kuasa.
  1. Namun, saya ingin menekankan 2 perkara. Pertama, saya berpendapat terma ‘pekerja universiti’ yang akan dilantik kepada Jawatankuasa itu sangat umum. Saya ingin mencadangkan agar Kementerian dapat menggariskan kriteria-kriteria atas pelantikan pekerja universiti ini, kerana kebertanggungjawab mereka dalam mengawal selia tatatertib pelajar memerlukan individu yang mempunyai pengalaman akademik yang baik dan mahir dengan urus tadbir di sesebuah universiti.
  1. Kedua, kita perlu membentuk dimensi baru ke atas gerakan mahasiswa dengan melakukan perubahan kepada bentuk pentadbiran yang sedia ada. Saya ingin mencadangkan agar wakil Kesatuan  Pelajar  dalam  kerangka  Majlis  Perwakilan  Pelajar  saat ini diberikan peluang untuk terlibat Jawatankuasa Tatatertib Pelajar agar terdapat representasi yang lebih saksama dari sudut pelajar, selain meningkatkan impak peranan mahasiswa dalam pentadbiran universiti secara professional.
  1. Seperti dalam Seksyen 4A di bawah RUU AUKU (Pindaan) 2023, ianya menyatakan Menteri mempunyai kuasa untuk melantik Naib  Canselor, dengan keperluan melantik juga suatu jawatankuasa untuk menasihatinya berkenaan pelantikan tersebut.
  1. Kita sedia maklum peranan Naib Canselor ini cukup besar kerana individu ini berperanan sebagai Ketua dalam mengurus seluruh Hal Ehwal Pelajar, tidak kira berkenaan dengan urus tadbir pengajar dan pelajar, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan, pembangunan fasiliti dan perancangan menyeluruh serta dasar universiti  selagi mana beliau berkhidmat di universiti tersebut.
  1. Walaupun secara amalannya terdapat jawatankuasa yang akan menasihat pelantikan tersebut, realitinya telah terjadi beberapa keadaan seperti diterbitkan di berita tentang adanya campur tangan kuasa politik tentang pelantikan Naib Canselor. Secara prinsip saya tidak bersetuju sekiranya lantikan Naib Canselor dibayangi unsur-unsur campurtangan luar kerana ianya tidak adil kepada universiti tersebut, dan akan memberi kesan langsung kepada autonomi, dan profesionalisme universiti.
  • Bagi menanggapi tanggapan ini, saya meminta Kementerian untuk memperincikan tatacara prosedur, kriteria-kriteria pemilihan serta garis masa tentang pelantikan Naib Canselor ini untuk pengetahuan umum.

Tuan Yang di-Pertua,

  • Ketiga, pindaan yang agak sensitif iaitu Subseksyen 4A dalam Seksyen 48 dalam Jadual Pertama, dimana ianya memberikan kuasa kepada Lembaga untuk mengurangkan atau melanjutkan tempoh keahlian MPP dan pemegang jawatan.
  • Saya minta pindaan 4A dikaji semula kerana menurut pindaan Subseksyen 4, ianya sudah menekankan bahawa tempoh khidmat MPP adalah satu tahun akademik. Justeru, ianya sudah memadai untuk tidak melibatkan kuasa Lembaga untuk campur tangan menentukan tempoh keahlian MPP.
  • Kita harus berpegang kepada prinsip untuk memperkasakan autonomi dan urus tadbir pelajar dengan lebih adil dan telus. Sebarang lanjutan tempoh, ianya harus dikembalikan kepada Central Election Committee (CEC) atau JK Pilihanraya MPP bersama MPP atau Kesatuan untuk pembubaran.

Tuan Yang di-Pertua,

  • Kesimpulannya, saya berharap pindaan rang undang-undang ini dapat menzahirkan komitmen Kerajaan untuk bersama-sama memperkasa peranan mahasiswa di lapangan universiti dengan berteraskan konsep aktivisme intelektual, serta memastikan  modal insan dapat dibangunkan selari dengan dengan hala tuju pendidikan negara.

Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.

Leave a Comment