Ibarat bunuh angsa bertelur emas

Ibarat bunuh angsa bertelur emas

Peintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 telahpun berlalu, tetapi gesaan untuk kebenaran pengeluaran KWSP tidak terhenti-henti.

Fenomena ini pelik.

Sebelum merdeka, KWSP telah ditugaskan untuk merancang dan menyediakan manfaat persaraan kepada pekerja sektor swasta dan tidak berpencen di Malaysia. Pengeluaran caruman jarang dibenarkan melainkan untuk tujuan yang bersyarat seperti menunaikan ibadah haji, pendidikan, pemilikan rumah dan rawatan kesihatan. Jika tanggungjawab KWSP ialah memastikan kehidupan persaraan para pencarum terbela, maka mereka sepatutnya lebih “kedekut” dalam membenarkan pengeluaran pengeluaran khas ini.

Kebelakangan ini pengeluaran khas telah diluluskan berkali-kali di bawah nama i-Sinar, i-Lestari, dan i-Citra. Antara sebab khusus kebenaran pengeluaran khas ini disebabkan impak pandemik Covid-19.

Ini adalah kerana COVID19 bukan sahaja telah mengehadkan pergerakan kita di bawah beberapa siri PKP, malah ia juga telah menjejaskan perniagaan dan kehidupan jutaan rakyat. Jika kerajaan menghalang pergerakan kita untuk bersemuka, berniaga dan bekerja, maka ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk bantu meringankan beban rakyat sepanjang tempoh tersebut. Salah satu langkah kerajaan pada tempoh tersebut adalah dengan mengizinkan pengeluaran khas KWSP.

Oleh itu, selepas PKP tamat dan ekonomi  beransur pulih, amalan pengeluaran khas atas sebab perintah darurat dan keadaan kritikal tidak boleh diketengahkan lagi.

Hakikatnya, pengeluaran khas KWSP secara berterusan akan mengurangkan kemampuan majoriti pencarum untuk berhadapan dengan kos sara hidup mereka selepas mencapai peringkat umur persaraan.

Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 6.67 juta ahli KWSP ataupun 51.5% hanya mempunyai baki simpanan di bawah RM10,000. Nilai ini adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan sasaran – RM240,000 simpanan asas untuk bersara. Jika pengeluaran dibenarkan secara berterusan, peratusan pencarum yang mempunyai simpanan bawah RM10,000 akan terus meningkat. Adakah pihak KWSP masih berperanan sekiranya 80% simpanan pencarum kurang daripada RM10,000? Jika begitu, lebih elok disarankan untuk bubarkan sahaja KWSP.

Perkara yang lebih penting, ataupun rahsia caruman KWSP sebenarnya bukannya pada faedah untuk setahun sahaja, tetapi faedah penting ialah faedah yang berganda (faedah kompaun). Digelar sebagai keajaiban ke-lapan di dunia oleh Warren Buffet seorang pelabur terulung di dunia, faedah berganda akan melipatgandakan simpanan kita umpama kesan bola salji (snowball effect) yang memberi impak lebih menyeluruh. Sebagai contoh, Adam dengan dana permulaan RM1,000 dan RM500 caruman setiap bulan, pihak KWSP boleh memberikan pulangan sebanyak RM462,000 ribu dalam tempoh 30 tahun kepada Adam. Sebaliknya, RM1,000 yang disimpan di bawah katil hanya akan bernilai RM406 selepas 30 tahun selepas mengambil kira inflasi yang ‘memakan’ nilai mata wang kita.

Maka pengeluaran awal umpama membunuh angsa yang bertelur emas. Ianya bukan sahaja melepaskan peluang untuk menambahkan aset pencarum, malah juga memerlukan antara 3 hingga 5 tahun untuk paras simpanan kembali ke paras asal.

Anda mungkin tanya, rakyat sekarang pun susah, mengapakah kerajaan tidak membantu?

Setuju, kerajaan wajib membantu, dan tanggungjawab yang paling utama adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menangani endemik rasuah, mewujudkan perkhidmatan awam yang cekap dan mesra, serta gaji yang setimpal dengan kos kehidupan sekarang. Jika rakyat dapat menikmati gaji yang lebih tinggi, maka bukan sahaja kita dapat berhadapan dengan kos kehidupan yang kian mencabar, malah caruman bulanan KWSP juga akan meningkat dari tahun ke tahun.

Dalam penyelesaian untuk tambahbaik pulangan KWSP, saya telah melontarkan beberapa cadangan, antaranya: 

  1. Meningkatkan mandat pelaburan luar. Pada tahun 2021, KWSP mencapai pulangan 8.64% untuk pelaburan antarabangsa, manakala pulangan pelaburan tempatan hanya sekadar 5.02%. Peningkatan mandat pelaburan di peringkat antarabangsa akan menjadikan KWSP lebih produktif, di samping lebih profesional.
  2. Menghadkan pengeluaran selepas mencapai umur 55 tahun mengikut jumlah caruman serta mengambil kira keperluan persaraan.
  3. Pelaksanaan dividen bertingkat (Tiered Dividend). Dasar ini akan memberikan dividen yang paling tinggi kepada caruman simpanan RM50,000 pertama, simpanan RM50,000 hingga RM240,000 (sasaran simpanan asas), dan simpanan RM240,000 ke atas. Jika pencarum mempunyai simpanan lebih RM1 juta, beliau masih boleh mendapat dividen yang tinggi untuk RM50,000 simpanannya.

Daripada menumpukan perdebatan sama ada pengeluaran tambahan harus dibenarkan, lebih baik semua pihak menumpukan cara untuk mempastikan pencarum kita boleh bersara secara bermaruah dan bermutu. KWSP sebagai pelaksana wajar tumpukan tenaga mereka untuk meningkatkan pulangan dan memberikan kesedaran/kecelikan dalam pengurusan persaraan rakyat, dan bukan selalunya bimbang atas desakan pengeluaran dari semasa ke semasa.

Leave a Comment