Rentetan perjumpaan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat Dato’ Johari Bin Abdul pada 12 Januari 2023, saya telah mencadangkan kepada beliau mengenai penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Perubahan Iklim dan Pembangunan Lestari pada peringkat Parlimen.
Umum mengetahui bahawa Yang Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim dan Kemampanan di Simposium Perubahan Iklim 2022 pada 5 September 2022 yang lalu. Usul tersebut dibuat bagi membantu kerajaan merangka satu hala tuju yang jelas selain sebagai persediaan mendepani kemelut perubahan iklim.
Berpaksikan kepada visi untuk menjadikan Malaysia Lestari 2030 dan sebagai negara neutral karbon seawal tahun 2050, negara perlu sekurang-kurangnya mencapai sasaran penjanaan tenaga diperbaharui sebanyak 40% seawal tahun 2035. Sekiranya negara terus komited menerokai potensi tenaga baharu dan memperkenalkan insentif khusus kepada rakyat, ini dapat menggalakkan rakyat untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan tenaga yang lestari dan mampan. Apatah lagi prospek pertumbuhan masa hadapan negara akan kekal melonjak dan kompetitif.
Disamping menerokai pendekatan yang baru untuk menangani perubahan iklim, di sudut lain saya melihat terdapat keperluan yang mendesak apabila menyaksikan Malaysia tidak terkecuali dilanda beberapa fenomena yang luar biasa, terjadi pada skala yang tidak pernah dialami sebelum ini. Peristiwa banjir yang ekstrem berlaku di bandar dan luar desa, malah peristiwa tanah runtuh yang terjadi turut mengorbankan ribuan nyawa, serta merangkul jiwa dan emosi seluruh negara. Kita tidak mampu menafikan bahawa di saat negara meniti arus kemodenan, aktiviti pembangunan dan perindustrian yang tidak terkawal turut mengesankan alam sekitar. Meskipun berlaku sedikit kepincangan, ianya tetap akan memberi impak yang besar serta menjejaskan daya ketahanan ekonomi, sosial, politik dan keselamatan negara.
Menerusi misi Parlimen Petaling Jaya yang memfokuskan pada pembangunan sosial yang lestari dan sejahtera, usaha ini mampu diterjemahkan menerusi empat (4) matlamat Petaling Jaya Lestari iaitu, i) reformasi nasional, ii) pengangkutan dan kemudahan lestari, iii) pemantapan kemahiran dan TVET, dan iv) keharmonian dalam komuniti. Saya percaya usaha di peringkat komuniti dan parlimen perlu digerakkan bersama-sama dalam menangani peralihan perubahan iklim negara.
Kesimpulannya, saya berharap agar Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Perubahan Iklim dan Pembangunan Lestari dalam kadar yang segera mungkin agar seluruh kepimpinan negara dapat mendepani isu-isu melibatkan kemelut iklim serta menjadikan ianya sebagai agenda keutamaan dalam negara ini.
YB LEE CHEAN CHUNG
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA
12 Januari 2023