- Laluan motorsikal
- Saya ingin menyentuh Pembangunan 27, Butiran 60000 Naik taraf Jalanraya dan Laluan yang mendapat peruntukan sebanyak RM147.7 juta pada tahun 2025, berbanding anggaran perbelanjaan RM193.6 juta pada tahun 2024. Serta Butiran 71000 Memperelok dan Membaikpulih Jalan yang mendapat peruntukan RM11 juta pada 2025, berbanding RM 20 juta pada 2024.
- Untuk makluman, saya pernah membawa isu infrastruktur dan penyelenggaraan laluan motorsikal di sekitar kawasan Lembah Klang, pada YB Menteri KKR sekitar Mac 2024.
- Yang mana saya sendiri telah turun membuat pemantauan laluan motorsikal lebuhraya dari jarak kawasan Amcorp Mall sehingga ke Batu Tiga, Shah Alam dengan membawa motorsikal sednrii. Saya mendapati beberapa laluan berada di tahap yang amat kurang memuaskan. Melalui pemerhatian saya, banjir, jalan berlubang dan tidak berturap merupakan keadaan yang paling jelas kelihatan dan ianya menyebabkan keadaan laluan motorsikal menjadi lebih merbahaya.
- Berdasarkan maklum balas daripada pengguna-pengguna laluan motorsikal juga, adakalanya mereka terpaksa menggunakan laluan utama lebuhraya kerana infrastruktur laluan motorsikal yang kurang diselenggara dengan baik. Namun mereka di bawah risiko kena saman kerana memang motorsikal tidak dibenarkan untuk menggunakan lorong utama. Maka para penunggang motorsikal dalam keadaan dilema – bahaya gunakan lorong motorsikal, tetapi guna jalan utama pula kena saman.
- Terima kasih pada Menteri KKR. Saya dimaklumkan bahawa sejumlah RM 3 juta lebih telah diluluskan untuk menjalakan program penyelenggeraan jalan-jalan persekutuan di Lebuhraya Persekutuan, serta penyelenggaraan lampu jalan dan isyarat.
- Cuma dalam lawatan saya ke luar negara, saya dapati bahawa lorong motorsikal, basikal mereka dibina dan diasingkan dengan baik. Ianya bermula dengan lorong paling kiri yang dikhususkan untuk basikal, motorsikal dan mobiliti mikro, kemudian diasingkan dengan pembahagi jalan, landskap, benteng ataupun pagar, dan barulah diikuti dengan beberapa lorong kenderaan empat roda.
- Justeru, soalan saya:
- Mengapakah Kementerian tidak boleh melaksanakan lorong motorsikal yang khusus kepada penunggang? Mengapakah kementerian tidak boleh mewajibkan konsesi lebuhraya bandar untuk membina lorong motorsikal?
- Adakah terdapat pelan Kementerian untuk menambah bilangan lorong motosikal di tempat yang diperlukan, agar dapat mengurangkan kadar kemalangan dan pengguna tidak beralih ke aliran trafik utama.
- Multi-model transport.
- Saya juga ingin merujuk kepada Maksud Bekalan Kod 010100 Pengurusan dan Pentadbiran dan bertanya tentang konsep multi-model transport, menerusi lensa kesesakan jalan raya, terutama di kawasan yang pesat membangun seperti di Lembah Klang, di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan sebagainya.
- Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen kerana sudi mengadakan taklimat mengenai Projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link) oleh Kementerian Kerja Raya. Saya yakin dengan usaha semua pihak, kita dapat meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti projek pembinaan lebuh raya.
- Soalan saya:
- Apakah kemajuan kerjasama kementerian dengan Kementerian Pengangkutan, Jawatankuasa Kabinet Kesesakan Lalulintas, serta bagaimanakah kementerian memastikan supaya setiap kementerian tidak “work in silo”, dengan izin? Ini adalah kerana di samping saya melihat usaha-usaha untuk memperkasakan lalulintas, KKR terus membina lebih banyak lebuh raya yang jelas akan memudaratkan lagi kesesakan dalam jangka masa yang panjang.
- Apakah perancangan Kerajaan untuk “decongest” kawasan-kawasan yang sesak, dan apakah pelan Kerajaan untuk memastikan lebih banyak laluan bas dapat diwujudkan supaya penggunaan kereta persendirian dapat dikurangkan dan seterusnya menyumbang kepada pengurangan perlepasan karbon?
Sekian, terima kasih.