- Saliran Bandar & Tebatan Banjir
- Pembangunan 33, Butiran 14500 Menaiktaraf Infrastruktur dan Saliran Bandar Tebatan Banjir yang menerima peruntukan sebanyak RM48,330,000 pengurangan daripada anggaran peruntukkan 2024 iaitu RM63,278,500.
- Butiran 16700 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan Saliran Bandar yang berjumlah RM887.6 juta pada tahun 2025.
- Dalam keadaan negara yang sedang pesat membangunkan sektor industri dan komersial, infrastruktur dan pertanian, ditambah dengan perubahan iklim yang tidak menentu, maka kita sedang menghadapi arus gelombang banjir yang bukan sahaja terjadi secara semulajadi, tetapi juga fenomena banjir kilat yang terhasil akibat kegopohan pembangunan bandar yang rakus dan tidak terancang.
- Yang akhirnya, menanggung beban adalah rakyat dan Kerajaan sendiri kerana perlu bersedia meningkatkan peruntukan untuk bencana sedangkan perkara ini dapat lebih dikawal menerusi naik taraf infrastruktur dan kelengkapan pengairan dan saliran, pengurusan, penyelidikan dan pelan RTB yang komprehensif dan siap tepat pada waktunya.
- Menurut NADMA pada Oktober 2024, terdapat 9/41 projek RTB di Selangor dikenal pasti sebagai projek sakit, dimana projek ini tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Ini termasuklah projek di Sungai Kayu Ara dan Sungai Damansara yang sepatutnya bermula pada 23 Februari 2021, dan tamat pada 22 Disember 2024. Namun, apa yang sudah jadi?
- Pada Belanjawan 2025, Kerajaan Negeri Selangor sahaja memperuntukkan RM 34.27 Juta bagi pengurusan Pembangunan projek tebatan banjir. Saya percaya pasti ada sinergi projek tebatan banjir di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi mengurangkan risiko banjir, dan seterusnya mencapai keberkesanan lebih menyeluruh dalam menangani isu banjir di Selangor.
- Justeru, soalan saya:
- Apakah perincian jumlah peruntukan Rancangan Tebatan Banjir yang disalurkan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, dan seterusnya ke Daerah Petaling?
- Berapakah jumlah kawasan ‘hot-spot’ yang sering dilanda banjir kilat di kawasan Petaling Jaya, apakah nilai dan tahap kerugian yang dialami oleh kawasan tersebut dan apakah langkah susulan bagi mengurangkan kerugian dan impak banjir tersebut?
- Tenaga nuklear
- Pembangunan 33, Butiran 40000 Program Kecekapan Tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui yang menerima peruntukan sebanyak RM24 juta tahun 2025, ketimbang RM18.8 juta pada tahun 2024.
- Setakat ini, anggaran sebanyak 80% tenaga elektrik dalam negara dijana menggunakan gas asli dan arang batu diikuti oleh minyak dan hidro. Namun seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Ekonomi pada 17 Nov 2024, sumber minyak mentah dan gas di Semenanjung telah berkurangan 50% dalam tempoh 10 tahun ini, dimana saat ini sumber hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak susulan penemuan terbaharu.
- Ini memberi kesan kepada janaan ekonomi dan agihan pendapatan negara.
- Ditambah dengan harga bahan api dan arang batu yang tidak menentu, dan pelepasan gas karbon yang tinggi, apakah kita wajar mempercepatkan rentak peralihan tenaga kita melalui penggantian gas dengan tenaga suria yang dibantu oleh Battery Energy Storage System (BESS) dan penyimpanan hidro pum?
- Pada tahun 2024, Prof Timothy Weber bersama dengan penyelidik-penyelidik lain telah mengemukakan satu kajian yang bernama “Grids dominated by solar and pumped hydro in wind-constrained sunbelt countries”. Mereka berjaya membuktikan bahawa Malaysia mampu mencapai 100% Tenaga Diperbaharui dengan memasang 660GW suria dan 2200 GWh penyimpanan hidro pam, dan disokongan dengan loji gas yang dijana oleh gas hidrogen untuk menguruskan tempoh permintaaan kemuncak. Apakah pandangan dan respon Kementerian kepada kajian tersebut?
Tuan Pengerusi,
- Kalau kita tidak dapat mempersiapkan grid kita untuk menerima suntikan RE, maka sama ada negara kita terpaksa bergantung kepada pengimportan gas ataupun batu arang yang kosnya meningkat mendadak. Kerana jika tidak, maka terpaksanya masyarakat kita berhadapan dengan kemungkinan untuk menerima tenaga nuklear.
- Di Perancis, sekitar 70% elektrik negara dihasilkan oleh tenaga nuklear melalui campuran tenaga, manakala Sweden sebanyak 30%, sementara US sekitar 20%, UK sebanyak 15%, dan negara Asia seperti China, India, Japan, dan Korea mempunyai beberapa reaktor nuklear bagi meningkatkan dan memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil serta mengurangkan perlepasan gas karbon.
- Masalahnya, rakyat kita masih sangsi dan kurang yakin dengan tenaga nuklear. Tambahan dengan kontroversi sebelum ini yang dicetuskan oleh Lynas dan perletupan yang berlaku di Fukushima, Jepun, rakyat masih mempunyai banyak salah tanggapan terhadap teknologi nuklear, walaupun ianya telah makin selamat digunakan dengan adanya Small Modular Reactor (SMR).
- Maka persoalan saya, apakah langkah ataupun hala tuju kementerian dalam berhadapan dengan dilema tenaga ini?
Sekian, terima kasih.