TEKS UCAPAN PERBAHASAN
RANG UNDANG-UNDANG KANUN TATACARA JENAYAH (PINDAAN) 2024 OLEH YB TUAN LEE CHEAN CHUNG [PETALING JAYA]
Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 di Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua,
- Saya ingin terus menyentuh perkara berkenaan National Scam Response Centre (NSRC). Mengikut statistik NSRC, pada tahun 2023, sebanyak 33,235 kes direkodkan dan RM1.34 bilion telah lesap ekoran penipuan scam. Ini bersamaan dengan 91 kes sehari, ataupun kerugian sebanyak RM3.67 juta sehari secara purata.
- Menurut kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Seri Ramli Mohamed, sebanyak RM3.8 bilion telah dipindah milik ke luar negara dari tahun 2021 sehingga 2023. Pengeluaran dana ini telah mengalir ke 43 buah negara melalui 15 entiti perniagaan yang dipercayai berkaitan dengan scammer.
- Perlu diperingatkan bahawa ini adalah kes-kes yang direkodkan oleh NSRC, yang mana banyak kes lagi yang ditutup atau tidak diketahui atas sebab-sebab tertentu.
- 2 tahun lepas, saya telah menubuhkan satu kumpulan sokongan yang bernama #ScamVictimSupport dan mula mendedahkan helah penipuan online scammer, mendesak tindakan daripada BNM dan kerajaan, serta membantu meningkatkan kesedaran rakyat terhadap penipuan online.
- Ekoran daripada desakan tersebut, kerajaan telah menubuhkan NSRC sebagai pusat sehenti untuk menangani penipuan online ini. Bukan itu sahaja, YAB PM dalam ucapan belanjawan tahun ini telah menambah peruntukan sebanyak RM10juta kepada NSRC untuk melawan penipuan online.
- Saya ingin ucapkan syabas kepada BNM dan Kerajaan Madani yang bukan sehaja memandang serius terhadap sindiket penipuan ini, malah juga mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tuan Yang di-Pertua,
- Sepanjang 2 tahun tersebut, saya telah mendedahkan pelbagai jenis scam, termasuk love scam, prize scam, APP scam, dan lain-lain. Ada yang menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai LHDN untuk menipu, malah ada yang bertopeng sebagai pegawai bank Tabung Haji, dan mempersonakan mangsa untuk menyerahkan harta mereka. Bahkan sekarang, saya menerima aduan bahawa ada yang menyamar sebagai pegawai NSRC untuk cuba menggodam maklumat dan menipu!
- Akan tetapi, walaupun dengan pengoperasian NSRC, jumlah kerugian pula bertambah dari RM800 juta pada tahun 2022 kepada RM1.3 bilion tahun lepas. Ini bererti perperangan dengan sindiket penipuan ini jauh dari selesai.
Tuan Yang di-Pertua,
- Saya menggunakan istilah perperangan, ‘war’, kerana ini adalah satu pertempuran menentang kumpulan perompak-perompak yang merompak harta dan memusnahkan maruah serta jati diri jutaan rakyat kita, dan akhirnya ‘mengalihkan’ hasil titik peluh rakyat tidak berdosa ini ke luar negara. Tiada siapa yang rugi melainkan negara Malaysia dan jutaan rakyat jelata kita.
- Perperangan memerlukan pemikiran yang bersifat menangani krisis. Jelas NSRC secara tunggal tidak dapat mengatasi helah si penipu yang semakin licik dan menjijikkan. Dalam situasi Malaysia, tidak dinafikan bahawa bank-bank yang amat berkuasa di negara ini mengambil sikap yang suam suam dalam situasi ramai pelanggan mereka menjadi mangsa.
- Selepas siasatan polis dibuat, terdapat kes yang mana bank-bank komersil TIDAK lagi berkongsikan maklumat kewangan mangsa walaupun itu merupakan maklumat peribadi mangsa!
- Terdapat insiden yang mana Bank sepatutnya memaklumkan kepada mangsa sekiranya transaksi dilakukan terlalu kerap, akan tetapi Bank tidak berbuat demikian dengan alasan masa itu adalah cuti perayaan. Ada juga insiden yang mana mangsa hanya dapat menghubungi talian panas bank selepas 30 minit. Malah, dimaklumkan oleh pihak bank bahawa isu ini tidak termasuk dalam bidang bank.
- Di United Kingdom, kebanyakan bank telah memeterai Kod Industri (Industry code) yang mana memerlukan bank membayar balik kerugian kepada pelanggan mereka yang dijadikan mangsa dalam penipuan APP (authorized push payment). Dari Mei 2019 sehingga tahun 2022, sebanyak £187 juta (RM1 bilion) telah dipulangkan kepada pelanggan mereka. Bank-bank komersil di Malaysia tidak menguasai kod industri tersebut.
- Di Singapura, selepas Money Authority Singapore (MAS) berjanji akan memperketatkan lagi pemantauan terhadap sistem pengesanan penipuan (fraud surveillance mechanism) institusi kewangan utama di Singapura, pada 30 Jan 2022, Bank OCBC setuju membayar ganti rugi “kemurahan hati” (Goodwill) sebanyak RM44.4 juta (USD10.1 juta) kepada 790 pelanggannya yang menjadi mangsa dalam penipuan online melalui memancing data (phishing scam).
- OCBC juga mengakui bahawa maklum balas mereka tidak memenuhi permintaan sendiri, maka mengambil sikap yang berani dan bertanggungjawab untuk menghulurkan ganti rugi.
- Ini menunjukkan sikap tanggungjawab bank OCBC yang harus dijadikan teladan oleh bank-bank di Malaysia. Yang buat untung adalah bank, tapi yang rugi hanya pelanggan mereka. Bila melakukan transaksi, mereka adalah pelanggan. Bila dikenakan penipuan, mereka umpama hantu yang tidak ada tuan. Adakah ini adil?
- Maka, saya ingin mengesyorkan kepada Kementerian supaya jangan mengambil tindakan kepada pemegang-pemegang akaun keldai sahaja. Saya mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan bank dan telco untuk menanggung sekurang-kurangnya 50%, dan maksimum 100% kerugian dalam apa jua jenis penipuan, melainan ianya didapati adalah palsu ataupun yang bersifat sengaja untuk mengambil kesempatan. Saya memohon maklum balas pihak kementerian.
Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.
Terima kasih.