Kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful yang menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pendendam tua yang opportunis dan kuku besi adalah jauh sekali daripada kenyataan.
Saya menyanggah serangan Wan Saiful tersebut yang tidak berasas, bersifat peribadi, dan hanya untuk meraih simpati. Saya pelik kenyataan yang sama tidak digunakan kepada bekas ‘boss’ beliau iaitu Tun Mahathir Muhamad yang jauh lebih tua, lebih opportunis dan lebih kuku besi, sebaliknya ayat-ayat emosi ini dilontarkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya selepas beliau didakwa dengan 2 pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu.
Jelas kenyataan bahawa sasaran utama kerajaan kini adalah untuk melumpuhkan PN agar tiada semak dan imbang juga tidak tepat sama sekali. Ini adalah kerana pelbagai usaha seperti memperkasakan dewan rakyat, mengharamkan tender terbuka, rancangan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Pendaaan Politik adalah bertujuan untuk memberikan semak dan imbang kepada kerajaan. Jangan sesekali menggunakan nama semak dan imbang untuk menutup kes yang bakal dibicara di mahkamah semasa mereka menjadi kerajaan dulu.
Saya juga mendapati bahawa rata-rata PN/BERSATU/PAS tidak berminat untuk menjadi pembangkang yang membina. Mereka sering kali mengulangi kenyataan yang mengelirukan dan kemudian meminta maaf dalam dewan. Mereka memburukkan kerajaan tanpa merujuk kepada buku belanjawan. Kehadiran mereka juga kurang memberangsangkan walalupun Perdana Menteri sendiri berada dalam parlimen untuk menjawab soalan ahli-ahli dewan. Mereka turut gagal membentangkan belanjawan alternatif untuk menunjukkan bahawa PN adalah blok yang mampu menawarkan alternatif dasar kepada rakyat.
Maka kenyataan Wan Saiful bahawa akan hilangnya semak dan imbang juga mengarut, kerana PN selama ini tidak memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina dan efektif pun. Memandangkan Wan Saiful telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan BERSATU, saya berharap agar Ketua Penerangan BERSATU yang baru jangan menyalahgunakan nama pembangkang lagi untuk membela diri sekiranya terdapat apa-apa kes rasuah ataupun penyelewengan.
YB Lee Chean Chung
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Ahli Parlimen Petaling Jaya