TEKS UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2025

TEKS UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2025

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan yang mulia ini.

Sedikit pantun:

Belanjawan 2025 sudah dikemuka,

Arah globalisasi kami menuju,

Raihlah dengan hati terbuka,

Tanda ekonomi negara maju.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Saya ingin memulakan perbahasan dengan menyentuh kenyataan YB Hulu Terengganu tentang perkataan ‘ketimbang’ tempoh hari, yang sepertinya membuat beliau kelihatan agak bingung sehingga mengandai-andaikan maksudnya.

Saya kira pujian harus diberikan kepada YAB PM kerana pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024 lancar dan jelas, cuma perkataan ‘ketimbang’ mungkin terlalu luar biasa kosa katanya sampai YB Hulu Terengganu tidak mampu berhenti memikirkannya.

  • Diharapkan dengan penjelasan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tentang maksud ‘ketimbang’ tersebut, iaitu menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu, dapat menjernihkan semula fikiran YB Hulu Terengganu ketimbang kenyataan belanjawan YAB PM tempoh hari.

Agensi Tunggal SME

Tuan Yang di-Pertua,

  • Merujuk kepada pembentangan Belanjawan 2025, 90% ekonomi di negara ini melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan ianya menyumbang hasil 40% kepada KDNK dan 48.2% keatas jumlah pekerjaan. Jelas, PMKS adalah antara tiang utama kepada pembangunan ekonomi negara.
  • Namun, saya ingin terus fokus kepada sistem PMKS dari segi sokongan yang sepertinya kurang sistematik dan berintegrasi. Menurut laporan Word Bank 2022 ke atas “Malaysian SME Program Efficiency Review”, ianya  didapati bahawa program sokongan PMKS di Malaysia tidak dikawal selia oleh satu bumbung, dan laporan tahun 2019 pula mengatakan terdapat 71 agensi, jabatan kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan yang berbeza menyelia pelaksanaan program sokongan PKS dan usahawan di seluruh Malaysia.
  • Malah, entiti seperti Bank Negara Malaysia (BNM) juga mempunyai unit PMKS khusus di bawah bidang kuasanya.
  • Pemecahan segmen seperti ini pastinya mendorong cabaran penyelarasan yang besar dan memberi kesan langsung membangunkan esoksistem sokongan PMKS yang cekap.
  • Justeru, saya berpendapat Kerajaan perlu menggubal agensi tunggal bagi pemerkasaan PMKS, bagi mengintegrasikan struktur dan inisiatif PMKS agar diselaraskan dengan baik. Oleh itu, cadangan saya adalah Kerajaan terus memperkasakan SME Corp sebagai badan tertinggi untuk pembangunan PMKS.
  • SME Corp boleh mengawal selia pertumbuhan PMKS dalam segmen berbeza – pertanian, pembuatan, perdagangan, pelancongan, perkhidmatan tempatan dan lain-lain.
  • Dari sisi yang lain, tahap produktiviti PKS kita juga jauh lebih rendah berbanding purata negara ASEAN lain seperti Singapura dan Indonesia yang berjumlah sekitar 48.2%. Hal ini menuntut dasar yang lebih berkesan bagi meningkatkan produktiviti melalui automasi dan teknologi kepada PKS.
  1. Sebagai contoh, Malaysia kaya dengan sumber pelancongan, namun tidak ada dasar holistik untuk membangunkan eko-pelancongan. Industri mengeluh bahawa tempoh pertukaran  tanah pertanian bagi tujuan pelancongan mengambil masa selama 3 tahun, dengan harga yang di luar kemampuan iaitu lebih RM25,000 setahun untuk tanah 5 ekar.
  1. Sama dengan industri sektor pendidikan awal kanak-kanak yang sedang menghadapi cabaran yang ketara, dengan 1-3 pusat jagaan kanak-kanak ditutup setiap bulan, yang sangat membimbangkan. Sedia maklum bahawa proses permohonan berhadapan dengan karenah birokrasi yang terlalu banyak.
  1. Pemeriksaan juga hanya bermula selepas semuanya disiapkan, tetapi walaupun selepas 6 bulan, sering kali tiada kemas kini. Sementara itu, mereka masih perlu membayar sewa, tetapi tanpa perjanjian penyewaan, surat permohonan tidak dapat dikeluarkan. Ketelusan dan ketentuan dalam memudahcarakan pembangunan industri ini perlu diadakan bagi memudahcarakan PKS dan merendahkan kos pembiayaan pendidikan awal.

Ekonomi E-Hailing

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kita sedia maklum bahawa untuk mengatasi isu kesalinghubungan dan first-and-last-mile (FMLM), pelbagai kaedah telah digunapakai seperti penambahan perkhidmatan bas, pembinaan lorong pejalan kaki dan lain-lain.
  1. Namun jika kita bertanyakan kepada pengguna, keluhan bahawa capaian pengangkutan awam di seluruh Malaysia masih jauh ketinggalan.
  1. Di kebanyakan negara asia tenggara, motorsikal e-hailing digunakan untuk menyokong usaha FMLM. Berdasarkan laporan International Transport Federation, ia menunjukkan bandar seperti Bangkok dan Jakarta dapat  meningkatkan prestasi ‘consumer welfare’ dan memperkasa daya tahan pengangkutan awam negara dengan pelaksanaan e-hailing.
  1. Di Malaysia sendiri, ekonomi gig sedang mengalami perkembangan merentasi pelbagai industri e-hailing dan p-hailing. Secara umum, ekonomi gig ini dijadikan satu pilihan mencari pendapatan sampingan yang lebih, didorong dengan fleksibiliti waktu dan tempat kerja.
  1. Justeru, saya ingin menumpukan cadangan kepada memperluas konsep e-hailing ini sebagai ‘dual income’ janaan ekonomi rakyat dari hanya menghantar makanan seperti apa yang dilakukan oleh Grab, Foodpanda, Bungkusit dan sebagainya kepada pilihan membuat tempahan untuk menghantar penumpang dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
  1. Namun, saya faham ada pihak mungkin mula mengandaikan isu keselamatan jalan raya.
  1. Contoh, syarikat Grab pemilikan Singapura, industri e-hailing mereka mempunyai kadar kemalangan jalan raya yang rendah di rantau ini. Ini adalah hasil Grab menjadikan peraturan pengangkutan dibawah Land Transport Authority (LTA) dan Quality of Services (QoS) sebagai penanda aras keselamatan penunggang, kemudian diintegrasikan dalam aplikasi Grab, dengan ciri-ciri notifikasi seperti i) amaran pemantauan perjalanan, ii) laporan keselamatan memandu, dan iii) peringatan keperluan berehat bagi mengelakkan kemalangan dari berlaku.
  • Di Thailand pula misalnya, pengguna menggunakan e-hailing penumpang lebih 5x kekerapan seminggu, jika dibandingkan e-hailing kereta sebanyak 3x seminggu kerana lebih mudah dan menjimatkan masa menunggu di trafik yang sesak.
  • Justeru, saya berpandangan bahawa syarikat e-hailing di Malaysia boleh mengisi ruang kekangan yang ada dengan Kerajaan membenarkan ruang untuk servis e-hailing penumpang bertapak, disamping terus menyokong usaha memperkasa FMLM di negara ini.
  • Tidak kurang juga bahawa Malaysia wajar melihat ekonomi gig sebagai potensi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat, selain  sebagai satu mekanisme penjanaan ekonomi dan pendapatan.

Rasionalisasi Subsidi

Tuan Yang di-Pertua,

  • Suka untuk saya imbas semula pada Jun 2024, Kerajaan MADANI telah memulakan langkah berani dengan melaksanakan subsidi bersasar diesel di Semenanjung Malaysia. Dengan pada awalnya berbekalkan perbelanjaan subsidi diesel RM 14.3 bilion, kini Kerajaan berjaya menjimatkan sekitar RM 4 Bilion setahun hasil subsidi bersasar yang diambil dari golongan kaya T20 dan dipulangkan semula kepada golongan B40 dan golongan-golongan lain yang terkesan akibat keadaan semasa ekonomi dan sosial negara.
  • Ketirisan jualan aktiviti penyeludupan diesel dari negara jiran dan penjualan secara haram pula berkurang sekitar 40% hasil kejayaan pelaksaan subsidi bersasar diesel tersebut.
  • Seperti perkongsian YAB Perdana Menteri pada 18 Oktober 2024, Kerajaan menanggung subsidi pukal, insentif dan bantuan hampir RM 80 bilion ringgit pada tahun lalu, dimana ianya turut dinikmati golongan kaya dan warga asing.
  • Hari ini, Kerajaan MADANI sekali lagi mengambil sikap yang berani dan bertanggungjawab, dengan memperkenalkan pula subsidi bersasar bagi RON 95 yang dijangka bermula pada pertengahan tahun 2025, dengan meneruskan subsidi keatas 85% rakyat Malaysia dengan jumlah RM 12 bilion ringgit, dan mengecualikan pula RM 8 Bilion subsidi dari golongan T15 dan warga asing. Dimana RM 8 bilion ringgit ini akan dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan dan  pengangkutan awam.
  • Dari sudut yang berbeza, saya percaya usaha rasionalisasi subsidi ini akan membantu komitmen kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan. Menurut Pendapatan Garis kemiskinan (PGK) Malaysia, ketua isi rumah (KIR) miskin tegar ialah RM 1,198 sebulan.
  • Oleh yang demikian, saya kira usaha Kerajaan meningkatkan peruntukan  bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 2.9 bilion bagi Belanjawan 2025 ini merupakan salah satu usaha untuk membantu juga kumpulan berpendapatan rendah yang lain. Saya percaya ini hasil penjimatan dari subsidi bersasar yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan secara berperingkat.
  • Dengan peningkatan bantuan sebegini, ini akan melipat gandakan usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan bagi mereka yang berpendapatan sekitar RM1,100 – 1,200 sebulan. Malah, dapat membantu rakyat agar lebih mampu berbelanja dalam menghadapi kos sara hidup yang meningkat, disamping turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
  • Dengan adanya sistem PADU yang diperkenalkan awal tahun ini, saya juga yakin bantuan boleh dilaksanakan secara lebih bersasar, bukan lagi berdasarkan kategori kasar, tetapi mengikut pendapatan boleh gunapakai, lokasi, pemilikan harta dan lain-lain.
  • Saya berpendapat bahawa PADU merupakan satu pengkalan data yang lebih dinamik, dan boleh menyelesaikan masalah jurang maklumat yang dihadapi dulu. Penghantaran tunai masih merupakan cara yang paling berkesan, berbanding dengan penggunaan MyKAD ataupun fleetcard di tempat pam minyak. Selain isu kerosakan chip ataupun salahguna kad, isu “perdagangan myKAD” mungkin akan berlaku di depan pam minyak!
  • Saya berharap agar Kerajaan dapat mengintegrasikan PADU secepat mungkin supaya majoriti rakyat tidak keciciran mendapatkan akses kepada bantuan-bantuan kerajaan.

Tanam ubi tanam keladi,

Buku anggaran tersusun rapi,

Bangun pagi gosok baju,

Di dewan rakyat ayuh kita bersatu.

Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.

PETALING JAYA MOHON MENYOKONG.

Leave a Comment