TEKS UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2026

TEKS UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2026

OLEH YB TUAN LEE CHEAN CHUNG [PETALING JAYA]

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Belanjawan 2026: Belanjawan Rakyat ini memberi refleksi jelas Kerajaan kepada tumpuan kestabilan ekonomi dan daya tahan negara dalam mendepani cabaran global. Saat-saat penting ini memerlukan kecekapan pentadbiran, tatakelola yang telus bagi mengurangkan ketirisan, serta memperkukuh keadilan sosial berpaksikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
  • Saya mengambil maklum bahawa kerajaan Madani telahpun melaksanakan penyasaran subsidi ke atas Elektrik, Diesel dan  Petrol, telah mengapungkan harga telur dan ayam, dan bakal membawa penjimatan sebanyak RM15.5 bilion kepada kerajaan.
  • Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Madani yang memutuskan bahawa cukai karbon akan diperkenalkan, bermula dengan sektor besi, keluli dan tenaga. Ini menunjukkan komitmen kita untuk menyahkarbonkan ekonomi kita menjelang 2050.

Tuan Yang di-Pertua,

  • Sungguhpun begitu, satu hakikat yang kita tidak boleh kesampingkan adalah Malaysia sebenarnya mengalami kebocoran ekonomi dan kerugian hampir RM6 bilion setahun akibat perdagangan rokok haram dan alkohol di Malaysia, sekali gus mengakibatkan kehilangan yang besar kepada pendapatan negara.
  • Dalam 5 tahun kebelakangan ini, Malaysia juga pernah berada pada No.1 negara bagi jualan rokok tidak sah (59%), diikuti Brazil menurut laporan The Economics of the Illicit Tobacco Trade in Malaysia.
  • Berdasarkan Belanjawan 2026, Kerajaan dilihat bercadang menaikkan kadar duti eksais sebanyak 2 sen per batang rokok, manakala 10% keatas produk minuman keras yang dijangka bermula 1 November 2025.
  • Walaupun secara amali, kenaikan harga dan cukai ke atas rokok dan arak akan mengurangkan pengambilan dalam masyarakat, namun ironinya kebanyakan pengguna akan mula beralih kepada produk yang berada di pasaran gelap kerana ianya lebih murah, lalu menyumbang kepada peningkatan aktiviti penyeludupan haram.
  • Ini turut dilaporkan oleh Nielsen dengan kajian terkini pada Mei 2025, iaitu 55% atau 6 daripada 10 bungkus rokok yang dijual di Malaysia adalah rokok seludup dan tidak bercukai.
  • Kenaikan cukai tanpa pengukuhan penguatkuasaan hanya akan memberikan kesan songsang. Kita pernah lihat pada tahun 2015, apabila kadar cukai rokok dinaikkan secara mendadak kepada 43%, pasaran gelap terus melonjak sehingga kerajaan kehilangan lebih banyak hasil berbanding tahun sebelumnya, dan kesannya dirasai sehingga hari ini.
  1. Kita memuji inisiatif murni Kerajaan yang mana hasil tambahan daripada rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada KKM untuk Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta rawatan diabetes dan penyakit jantung. Namun, dengan kegiatan penyeludupan yang berleluasa, cukai tidak dapat direkodkan, pengguna terus terjejas kesihatan, dan beban pembiayaan rawatan akan terus meningkat.
  1. Bayangkan, kerugian pada hari ini sekitar 6 bilion akan melonjak kepada 7 bilion setahun sekiranya tiada langkah komprehensif dilaksanakan. Untuk makluman, penjimatan petrol dan diesel yang bersusah-payah dicapai ini hanya sekadar RM7 bilion sahaja.
  1. Persoalan saya adalah, Apakah langkah baru yang berbeza dengan dulu, yang boleh membanteras penyeludupan sistemik ini? Jika tidak, segala kenaikan cukai barangan rokok dan alkohol hanya akan menggalakkan lebih banyak aktiviti penyeludupan, di samping terus membebani kos rawatan hospital yang dibiayai oleh pembayar cukai. Road to hell is paved with good intentions, dengan izin.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Saya ingin menyentuh isu pelaksanaan subsidi bersasar yang diumumkan oleh Kerajaan Madani, yang dikatakan mampu menjimatkan sebanyak RM15.5 bilion setahun.
  1. Kita akui bahawa langkah berani kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar ini adalah satu keputusan fiskal yang rasional dan tepat pada waktunya, dimana setiap sen wang rakyat dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
  1. Namun, persoalan utama yang ingin saya bangkitkan ialah bagaimanakah penjimatan RM15.5 bilion ini akan digunakan?
  1. Selain itu, turut mengejutkan adalah dividen Petronas telahpun merosot dari RM50 bilion kepada RM20 bilion. Ketidaktentuan ini adalah kurang baik untuk perancangan yang rapi dan tersusun. Saya ingain bertanya kepada Kementerian Kewangan bahawa bila Strategi Hasil Jangka Masa Sederhana ataupun Medium Term Revenue Strategy (MTRS) akan dibentangkan supaya keseluruhan rakyat mengetahui jaminan hasil negara pada masa akan datang.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Selama ini perbahasan saya kebanyakan tertumpu kepada permasalahan ekonomi, namun kali ini saya ingin membangkitkan tentang kegusaran mengenai sistem pendidikan negara kita. Ini adalah kerana sistem pendidikan semasa makin dilihat sebagai penghalang dalam transformasi dan pembangunan ekonomi kita.
  1. Saban tahun, pendidikan antara yang menerima bahagian peruntukan yang sebesar negara maju, tetapi pencapaian masih “mediocre”. Pendek kata, outcome mengecewakan.
  1. Saya tidak menidakkan bahawa terdapat keperluan menaik taraf sekolah-sekolah usang dan membina sekolah-sekolah yang baru memang memakan peruntukan yang amat besar, tetapi Kerajaan perlu melakukan sesuatu agar mutu pendidikan mencapai ke arah status negara maju. Apatah lagi kita sedang menuju transformasi besar untuk mewajibkan pendidikan prasekolah kepada 5 tahun, seperti digariskan dalam dasar RMK Ke-13.
  • Kemudian, saya ingin merujuk kepada tambahan penempatan 1,500 kerusi universiti di universiti awam, yang dilihat langkah yang wajar tetapi butiran perlu diperincikan lebih lagi.
  • 1,500 kerusi ini pula akan diagihkan di 5 universiti dan 10 program. Secara purata, itu hanya kira-kira 30 kerusi tambahan bagi setiap program.
  • Kalau kita lihat saban tahun, kira-kira 1,300 pelajar STPM yang mendapat straight A. Walaupun misalnya semua kerusi baru ditempatkan untuk mereka, ia masih jauh dari mencukupi untuk memenuhi permintaan mereka, apatah lagi program kritikal seperti perakaunan, perubatan atau kejuruteraan.
  • Saya kira ramai maklum tentang isu tergempar baru-baru ini tentang pelajar STPM yang mendapat 4A dengan markah 9.9 kokurikulum, namun menduduki tempat ke-1,129 untuk 85 slot yang tersedia dalam program perakaunan UM. Begitulah sistem yang nampak kompetitif namun banyak kelompongan.
  • Point saya adalah, isu sebenar bukan semata berapa bilangan kerusi, tetapi ketelusan penempatan IPTA kepada pelajar. Tanpa sistem pemarkahan yang telus dan konsisten, pelajar dan ibu bapa akan keliru dalam merancang laluan pendidikan mereka dengan betul dan tidak mampu memahami perkara yang sebenarnya diperlukan untuk berjaya.
  • Seterusnya, berkenaan PTPTN. Saya menyambut baik usaha Kerajaan untuk memberikan pendidikan percuma sejumlah RM 120 Juta setahun ke atas 5,800 anak-anak dari keluarga miskin, yang bakal mengikuti pengajian di IPTA.
  • Namun, bagaimana pula dengan pelajar IPTS? Di IPTS sendiri, ramai pelajar B40 yang tidak mendapat akses ke universiti awam atas sebab yang tertera, tetapi mereka cemerlang dan mendapat Ijazah Kelas pertama.
  • Ramai anak muda yang menuntut pelajaran di IPTS berasa kecewa dan sedih dengan ketidaktentuan hala tuju pendidikan ini. Yang sepatutnya dijadikan merit dan motivasi untuk mencapai kecemerlangan, sekarang dikeluarkan secara tiba-tiba daripada anak muda yang menumpu kepada akademik mereka.
  • Kerana kita sedar ramai anak-anak kita yang sebenarnya cemerlang, tetapi atas sistem kemasukan IPTA yang belum direform, mereka terpaksa meneruskan pengajian di IPTS melalui pinjaman PTPTN.
  • Ini bukan sahaja isu pendidikan sahaja, tetapi lebih kepada isu pelaburan bakat, memupuk kecintaan kepada negara melalui ganjaran, dan “a sense of fairness”, dengan izin.
  • Jadi, saya berpandangan bantuan pendidikan bersasar ini perlu berlandaskan merit, telus dan adil untuk semua. Lebih-lebih lagi, skim pertukaran pinjaman kepada biasiswa secara merit ini telahpun diperkenalkan sejak tahun 2001. Sehingga tahun ini, skim ini telah memanfaatkan lebih 133,159 peminjam yang memperuntukkan RM2.9 bilion, ataupun RM116 juta setahun sahaja

Tan Sri Yang Dipertua,

  • Saya percaya biasiswa lebih RM100 juta setahun ini adalah pelaburan yang paling berkesan untuk memartabatkan pendidikan. Sekiranya dianggap terlalu longgar, kerajaan boleh meletakkan syarat biasiswa seperti perlu bekerja di Malaysia selama beberapa tahun, contohnya, mereka perlu berkhidmat di Malaysia selama 3 tahun untuk kursus Ijazah 3 tahun, selepas tamat pengajian mereka.
  • Kalau hari ini kita nak bercakap yang pendidikan perlu ada anjakan pardigma, inilah masanya untuk kita lakukan perubahan bersama. Pohonlah Perdana Menteri dan KPT mengubah keputusan tersebut dan mengizinkan pelajar kelas pertama dalam program Ijzaha IPTS turut menerima ganjaran.

Tuan Yang di-Pertua,

  • Isu perumahan mampu milik dan perumahan sosial kini semakin mendesak. Sebelum RUU Pembaharuan Bandar diluluskan, saya ingin menegaskan bahawa unsur terpenting yang mesti dijamin ialah penyediaan perumahan sosial yang mencukupi, berkualiti dan inklusif.
  • Hari ini, banyak kawasan bandar lama, termasuk di Petaling Jaya berdepan masalah rumah usang dan tidak selamat. Sebenarnya kebanyakan isu adalah berpunca daripada kerangka undang-undang yang menguruskan Perbadanan Pengurusan (MC) ataupun Badan Pengurusan Bersama (JMB).
  • Barangkali terdengar rintihan pihak pengurusan atas kadar kutipan yuran penyelenggaran bulanan dan sinking fund yang rendah. Kepada mereka yang tidak membayar, pihak pengurusan hanya ada kuasa terhak untuk mengambil tindakan. Ini menjurus kepada keadaan yang terus merosot dan teruk, sehingga bangunan tersebut tidak boleh digunakan lagi.
  • Maka sebarang kelulusan RUU URA, saya mencadangkan supaya Akta Pengurusan Strata 2013 dipinda dahulu.
  • Kedua, Saya menyeru kerajaan agar mengumumkan rangka Skim Perumahan Sosial nasional yang besar-besaran terlebih dahulu, sebelum membentangkan URA. Dengan ini, rakyat tahu bahawa mereka tidak akan diketepikan, malah akan mendapat manfaat daripada pembangunan semula.
  • Saya juga menggesa supaya skim ini ada penglibatan kerajaan Persekutuan, negeri dan PBT secara bersama, bukan diserahkan kepada pasaran semata-mata. Namun, saya tidak nampak peningkatan perbelanjaan yang drastik dalam Belanjawan 2026, dan ini membimbangkan saya.
  • Kita tidak mahu situasi yang mana pemilik tidak dapat pampasan yang setimpal, penduduk tidak boleh memulakan inisiatif pembangunan semula sendiri, dan gentrifikasi yang menolak penyewa golongan B40 keluar dari bandar.

Jika kita tidak sediakan skim perumahan sosial yang terancang sebelum akta diperkenalkan, maka pembaharuan bandar hanya akan menguntungkan pemaju, bukan rakyat.

  • Pembangunan bandar tidak boleh hanya cantik di luar, tetapi mesti adil kepada semua. Akta Pembaharuan Bandar mesti menjadi alat keadilan sosial, bukannya alat pengusiran bandar. Untuk mencapai ini, tanpa pindaan Akta Pengurusan Strata dan Program Perumahan Sosial yang kuat, saya khuatir ianya akan membawa manfaat sebenarnya kepada rakyat kita.

Sedikit pantun:

Bersawah di bendang hasilnya padi,

Bersatu berdaya, bangsa berani,

Ekonomi lestari tunjang berdiri,

Belanjawan rakyat, asas harmoni.

Sekian, terima kasih.

Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.

PETALING JAYA MOHON MENYOKONG.

Leave a Comment