Teks Ucapan Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024

Teks Ucapan Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024

TEKS UCAPAN PERBAHASAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2/2024 OLEH YB TUAN LEE CHEAN CHUNG [PETALING JAYA]

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Saya ingin menekankan beberapa perkara yang memerlukan perhatian tuntas oleh semua pihak, kerana laporan audit yang diterbitkan sebahagian dapatannya telah menghakis kepercayaan orang awam kepada institusi-institusi penting negara.

Majlis Profesor Negara

  1. Pertamanya, saya ingin menyentuh tentang Majlis Profesor Negara (MPN) yang didapati tidak memenuhi matlamat penubuhan secara jelas, serta mempunyai tadbir urus yang tidak memuaskan.
  2. Tujuan MPN ditubuhkan adalah untuk menggerakkan kepakaran tenaga akademik bagi membantu usaha Kerajaan membangunkan negara dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat.
  3. MPN telah menerima geran mengurus daripada Kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh tahun 2015-2018, dan 2022-2023.
  4. Namun, laporan mengesahkan MPN telah menyalahgunakan dana sebanyak i) RM373,516 untuk membiayai 2 anak syarikat yang tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah (LPA), malah terdapat 2 LPA yang mempunyai pegangan saham di syarikat tersebut dan tidak membuat pengisytiharan ii) elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 tanpa kelulusan menteri, iii) RM 0.92 juta Geran dibelanjakan dan diseleweng dari tujuan asal dan pelbagai kepincangan dilaporkan.
  5. Ini jelas menunjukkan kelemahan urus tadbir MPN serta konflik kepentingan yang tidak dikawal selia sehingga mengakibatkan kepincangan terhadap pengurusan objektif dan dana awam.
  6. Dato Yang Di-Pertua, profesor di menara gading merupakan satu profesion yang amat disanjungi oleh masyarakat. Apabila Majlis yang melibatkan profesor juga dilihat serius melanggar tata kelola, rakyat tertanya-tanya – apatah lagi dengan agensi yang lain?
  7. Atas isu integriti yang sama, saya ingin membawa perhatian kepada isu mutu penyelidikan. Pada awal Januari 2024, Serge Jardin, ‘French historian’ telah membuat kenyataan bahawa 2 ahli akademik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengubah atau mengelirukan sejarah maritim Melayu dengan fakta asal menerusi terbitan akademik jurnal mereka bertajuk “The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of the Past Malay Maritime Civilization”. Hal ini menyebabkan beberapa pihak telah mempersoalkan kredibiliti akademik jurnal tersebut.

Persoalan saya adalah, adakah tindakan telah diambil terhadap pensyarah yang dituduh melakukan ‘Plagiarism’? Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ianya melibatkan institusi pembelajaran tertinggi kita!

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau HRD Corp

  1. Kedua, PSMB atau HRD Corp. Laporan Audit mendapati terdapat kepincangan pengurusan tadbir urus korporat dan kewangan dari isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya.
  2. Setakat tahun 2020 hingga 2023, Laporan mendapati sejumlah RM5.266 bilion levi telah dikutip oleh PSMB dan RM2.844 bilion (54%) daripadanya telah disalurkan kepada majikan bagi tujuan latihan untuk tempoh tahun 2020 hingga 2023. Sedangkan, PSMB dikehendaki menyalurkan 70% daripada kutipan levi kepada majikan bagi tujuan latihan.
  3. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang meragukan dan berisiko tinggi.
  4. Antaranya termasuk pembelian Menara Ikhlas berharga RM202.5 juta pada Februari 2021, dengan pembayaran deposit sebanyak RM120 juta kepada sebuah syarikat. Kemudian, pembelian blok bangunan komersial Sutera Avenue di Kota Kinabalu yang bernilai RM16 juta, tetapi tidak dibentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah.
  5. Seperti yang termaktub dalam Akta PSMB 2001, Panel pelaburan mesti melaporkan aktiviti pelaburan kepada Lembaga Pengarah. Justeru, saya menegaskan agar setiap aktiviti pelaburan dipantau oleh panel pelaburan dan Lembaga Pengarah, agar mekanisma semak dan imbang dapat dilaksanakan terhadap prestasi aktiviti organisasi.
  6. Saya ingin memuji usaha KESUMA dibawah kepimpinan YB Menteri, YB Steven Sim Chee Keong Akaun keatas pelaksanaan Dana Inisiatif Strategik (SIA), dimana ianya diwujudkan untuk mengasingkan akaun amanah levi. Ini bagi memastikan agar levi digunakan sepenuhnya untuk tujuan latihan kemahiran dan pengurusan sumber manusia.
  7. Namun dari satu sisi yang lain, saya ingin mengesyorkan kajian harus dilakukan untuk menilai samada PSMB perlu ditutupkan sahaja.
  8. Ini adalah kerana dinamik latihan telah berubah, daripada offline kepada online, dan daripada latihan umum kepada pengkhususan. Bagaimana pula sekiranya HRDCorp ditutup? Perkara ini boleh dicapai melalui tiga cadangan penyelesaian. Pertama, pekerja boleh mendaftar program latihan secara persendirian, dan diberikan pengecualian cukai. Kedua, memperkasa syarikat-syarikat besar untuk menyediakan ‘in-house training’ kepada pekerja-pekerja syarikat tersebut. Ketiga, memperkasa ‘industry association’ seperti dewan perniagaan, FMM atau persatuan industri untuk melaksanakan program latihan dan peningkatan kemahiran sumber manusia mengikut kluster industri masing-masing.
  9. Ini bermakna kita tidak perlu lagi pusat sehenti bagi pembangunan latihan, kemahiran dan sumber manusia, kerana setiap syarikat dan industri lebih mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk melaksanakan program-program yang lebih teknikal untuk kemahiran pekerja-pekerja mereka sendiri.
  10. Sebagai contoh, Persatuan Akitek Malaysia dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempunyai program ‘Continuing Professional Development (CPD)’ tersendiri bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang tersebut.
  11. Di Germany pula, Association of German Engineers, German Electrical dan Electronic Manufacturers’ Association, German Association of Energy and Water Industries dan sebagainya melaksanakan program kursus, latihan, seminar dan sebagainya bagi memastikan pekerja sentiasa memenuhi taraf keperluan pasaran industri dan buruh.
  12. Dengan itu, syarikat di Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing melalui latihan yang lebih bertepatan mengikut keperluan, disamping mengurangkan kos operasi mereka. Secara keseluruhan, saya berpandangan isu-isu berkenaan tadbir urus dan pengurusan kewangan PSMB perlu disemak dan dinilai secara lebih fundamental, dan bukan dilepaskan kepada SPRM sahaja. The head must roll, dengan izin. Pengurusan tertinggi perlu direhatkan sementara siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dijalankan dengan telus dan teratur.

Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.

Terima kasih.

Leave a Comment