Teks Ucapan Perbahasan Rang Undang Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024

Teks Ucapan Perbahasan Rang Undang Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024

TEKS UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG KETERANGAN SAKSI KANAK-KANAK (PINDAAN) 2024 OLEH YB TUAN LEE CHEAN CHUNG [PETALING JAYA]

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Pindaan yang dicadangkan kepada RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 ini bertujuan untuk menjadikan sistem keadilan jenayah kita lebih mudah diakses dan adil bagi saksi kanak-kanak.
  2. Saya ingin menyentuh kepada pindaan Seksyen 118 yang tidak lagi memasukkan ‘competency enquiry’ untuk setiap saksi kanak-kanak, yang mana saya bersetuju terhadap pindaan tersebut.
  3. Ini membantu menyangkal segelintir tanggapan awam yang kanak-kanak tidak kompeten untuk memberikan keterangan. Malah, ianya turut dituruti dengan cadangan penetapan umur 12 tahun sebagai usia ‘standard’ yang kompetensi dalam memberikan keterangan.
  4. Perubahan ini mengiktiraf bahawa kanak-kanak, seperti orang dewasa, harus dinilai kredibilitinya berdasarkan ‘merit’ kesaksian individu mereka dan bukannya tanggapan umum tentang usia mereka.
  5. Saya ingin terus merujuk kepada satu kes yang berlaku di UK pada tahun 2017, melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang berjaya memberikan keterangan dalam perbicaraan penderaan.
  6. Malah, kes ini telah diteliti oleh NSPCC ‘(National Society for the Prevention of Cruelty to Children)’ dan pakar perlindungan kanak-kanak yang mengatakan, pemangsa seksual kerap menyasarkan kanak-kanak kerana mereka berfikir tiada sesiapa yang akan mempercayai keterangan yang diberikan oleh kanak-kanak tersebut.
  7. Justeru, ianya menunjukkan keperluan sistem kehakiman kita untuk menyesuaikan dan mengiktiraf kebolehpercayaan potensi saksi kanak-kanak, memastikan mereka mempunyai ‘weight’ atau ‘substance’ memandangkan mereka dalam satu persekitaran yang lebih ‘adult-oriented’.
  8. Selaras dengan pindaan subseksyen baharu 2B(1) dan (2), Seksyen 4 Akta Sumpah India juga menyatakan bahawa apabila saksi adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak memahami sifat sumpah, ianya tidak menjejaskan kapasiti mereka untuk menyatakan keterangan dan kebenaran yang terjadi.
  9. Jadi, mengapakah UK dan India sudah lama mengiktiraf bahawa saksi kanak-kanak juga sama kompeten dengan saksi dewasa sedangkan Malaysia masih ketinggalan?

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kedua, pindaan untuk peraturan khas yang memerlukan pengesahan bagi kanak-kanak yang memberikan keterangan tidak bersumpah di bawah Seksyen 133A bertujuan memastikan keadilan bagi mangsa kanak-kanak.
  2. Menurut laporan ‘Department of Justice Canada’, terdapat peningkatan bilangan kanak-kanak memberi keterangan dalam tempoh 20 tahun, berikutan peningkatan pemerkasaan dari segi undang-undang.
  3. Namun, laporan tersebut juga menunjukkan kanak-kanak yang memberi keterangan mengalami ketekanan emosi, disebabkan pemeriksaan yang menakutkan, bahasa mahkamah yang ‘complex’, dan keperluan untuk berhadapan dengan yang tertuduh.
  4. Sesi perbicaraan yang cukup lama akan membuat kanak-kanak cenderung menghadapi situasi memori yang tidak jelas, kerana berada dalam ‘vicious cycle’ yang memerlukan kanak-kanak memberi keterangan yang sama berulang-ulang.
  5. Di Singapura pula, pindaan terhadap Evidence Act 12 and Criminal Procedure Code 13, sudah membenarkan keterangan diberikan melalui pautan video atau televisyen secara langsung. Kanak-kanak tidak perlu menghadapi tertuduh di mahkamah.
  6. Malaysia dan Singapura mengaplikasikan ‘common law system’ yang sudah ketinggalan zaman, tetapi Singapura mengambil langkah kedepan dengan melakukan pindaan tersebut.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Ketiga, saya ingin menyentuh pindaan untuk memperluas Perbicaraan Kes Pra-Perbicaraan (PTCM) yang sedia ada di bawah Seksyen 172B Kanun Tatacara Jenayah, untuk menyertakan perbincangan mengenai pengurusan keterangan kanak-kanak. PTCM dapat memastikan perbicaraan berjalan lancar dan mengurangkan tekanan yang dialami oleh saksi kanak-kanak.
  2. Saya mengambil maklum ada sesetengah pihak yang membuat tanggapan dengan mengatakan bahawa pindaan ini akan menambah beban kerja DPP dan mahkamah sekaligus.
  3. Namun, saya percaya beban kerja mahkamah tidak akan meningkat secara signifikan, walaupun PTCM yang melibatkan kanak-kanak mungkin mengambil masa sedikit lebih lama. Mereka hanya memerlukan maklumat tambahan mengenai umur kanak-kanak, kebolehan komunikasi, dan keperluan khas, yang boleh diperoleh tanpa bertemu dengan kanak-kanak secara peribadi.
  4. Makna kata, ‘Judicial Officer, Prosecutor & Defense Counsel’ perlu menggunakan PTCM sebagai pemudahcara dalam memperhalusi soalan-soalan yang lebih sesuai dan bertepatan untuk digunakan, agar dapat mengurangkan bantahan semasa keterangan diberikan oleh kanak-kanak sewaktu perbicaraan mahkamah.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Saya ingin menekankan bahawa apabila kita menuntut reformasi ke atas tatakelola dan tadbir urus negara, tindakan diambil perlu bersikap progresif, dan ada kalanya perlu membuang sikap yang terlalu selamat dan berhati-hati agar kepentingan awam dapat dipelihara.
  2. Justeru, saya menuntut agar Kerajaan dan institusi-institusi penting negara perlu komited dan sentiasa terbuka untuk turut mereformasi sistem undang-undang negara agar lebih bersifat berperikemanusiaan dan adil demi kesejahteraan Masyarakat.

Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.

Terima kasih.

Leave a Comment