Teks Ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024

Teks Ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024

TEKS UCAPAN PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG AUDIT (PINDAAN) 2024 OLEH YB TUAN LEE CHEAN CHUNG [PETALING JAYA]

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Saya ingin menyentuh pindaan Seksyen 5 untuk meluaskan kuasa Ketua Audit Negara untuk memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777], yang menerima jaminan kewangan yang diberikan oleh Persekutuan atau Negeri.
  2. Pertamanya, saya ingin terus merujuk kepada kes Felcra.
  3. Kita dikejutkan dengan pendedahan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkenaan hutang Felcra yang berjumlah RM1.21 bilion pada April 2023. Hutang ini rentetan kerugian oleh 14 anak-anak Syarikat di bawah Felcra. Selain, ‘diversification’ Felcra dalam pelbagai sektor telah menyebabkan mereka gagal menjana pendapatan dan mengakibatkan kewangan bertambah lebih buruk.
  4. Felcra ini merupakan entiti milik kerajaan, dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Inc (MOF Inc) dan diselia oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
  5. Kabinet pula telah meluluskan jumlah hutang sebanyak RM1.53 bilion untuk Felcra dan anak syarikatnya untuk diselamatkan dan distruktur semula, pembayaran mengambil tempoh 35 tahun dan hanya akan membayar semula bulanan bermula 2026 pada kadar RM4.6 juta kepada MOF.
  6. Justeru, saya ingin bertanya:
    i. Setakat Jun 2024, nyatakan berapakah jumlah kerugian yang ditanggung oleh semua state & Federal GLC?
  7. GLC seharusnya berpegang kepada objektif komersil dan penglibatan industri strategik, dan bukan sosial. Malah, GLC yang tidak berdaya harus disyorkan untuk ditutup, dan tidak dikekalkan ‘zombie company’ semata hanya untuk membiayai orang-orang.
  8. Saya ingin mencadangkan agar audit secara berkala/berfasa atau “early audit” dapat dijalankan, dari fasa awal, pelaksanaan dan penghasilan ke atas projek yang menelan perbelanjaan besar Kerajaan, dengan mengambil kira setiap syor dan cadangan awal yang diberikan ke atas setiap tindakan susulan.
  9. Sekiranya terdapat kepincangan audit, Jabatan Audit Negara perlu melaporkan terus kepada SPRM secara automatik untuk menjalankan penyiasatan lanjut.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Kedua, pindaan Subseksyen 9(4) untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk membuat apa-apa syor untuk menangani apa-apa ketakteraturan yang serius yang telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya.
  2. Pertama, isu-isu kepentingan semasa negara perlu terus dibentang tanpa menunggu laporan tahunan, jikalau tidak laporan audit tersebut tidak memberi signal jelas keadaan ‘semasa’.
  3. Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2022 ada menjelaskan tentang komitmen Kerajaan terhadap pampasan konsesi Lebuhraya, dimana ini melibatkan amaun pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi berikutan pemberian diskaun tol, penangguhan kenaikan kadar tol dan pemansuhan kutipan tol sebelum tamat tempoh konsesi.
  4. Komitmen Pampasan Konsesi Lebuhraya adalah berjumlah RM432.34 juta pada tahun 2022.
  5. Cadangan saya adalah agar Ketua Audit Negara dapat memperbaharui konsep, terma dan kategori bagi audit pampasan konsesi lebuhraya. Contohnya, isu projek Lebuhraya PJD-Link. Kita dimaklumkan pada April 2024 bahawa ianya telah dibatalkan oleh Kerajaan. Namun, dikhabarkan sekiranya projek lebuh raya itu dibatalkan, kerajaan juga perlu membayar sejumlah pampasan kepada pemegang konsesi. Terma dan syarat ini tidak dijelaskan oleh Kerajaan kepada pihak umum sedangkan projek ini sangat bersifat kepentingan awam.
  6. Saya berharap agar perkara ini mendapat perhatian Ketua Audit Negara, kerana jikalau tidak, pampasan bagi projek konsesi lebuhraya yang tidak diteruskan atau di “pause” sementara, jumlah kerugian itu tidak dapat diketahui oleh orang awam.

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Ketiga, saya juga ingin mencadangkan agar Jabatan Audit Negara terbuka untuk melibatkan orang awam menyertai proses audit, seperti dilakukan di Indonesia.
  2. Seperti contoh, Kementerian Kewangan Indonesia mengadakan perundingan awam semasa penggubalan belanjawan dan e-perundingan semasa proses pelaksanaan belanjawan. Malah, Badan Pemeriksa Keuangan (BPK) juga mewujudkan mekanisme untuk orang ramai membantu dalam memperkasa proses audit.
  3. Justeru, saya mengesyorkan agar Jabatan Audit Negara juga dapat menggalakkan penyertaan orang ramai dalam proses audit dan belanjawan negara.

Sekian sahaja ucapan perbahasan saya.

Terima kasih.

Leave a Comment