Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong di Dewan yang mulia ini.
Pertamanya, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar atas titah baginda yang penuh hikmah dan panduan untuk kemajuan negara.
Berbekalkan hemat serta kearifan Baginda Tuanku dalam mengemudi pemerintahan, saya mendoakan agar Baginda Tuanku sentiasa sejahtera dan dirahmati Tuhan, dan negara akan terus stabil, maju dan kekal berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tuan Yang di-Pertua,
- Baginda menekankan bahawa politik harus berfungsi untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan parti atau individu tertentu. Ini adalah satu peringatan yang tepat pada masanya, terutama dalam konteks landskap politik negara yang perlu lebih stabil dan konstruktif. Oleh itu, kita perlu memastikan amalan politik yang lebih matang dengan mengekalkan kestabilan serta mengelakkan retorik yang boleh memecahbelahkan rakyat. Dalam usaha ini, dasar keterangkuman dan Malaysia Madani yang digariskan oleh kerajaan perpaduan harus terus diperkukuh bagi menjamin perpaduan nasional.
- Saya ingin menarik perhatian kepada kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional semasa sambutan Tahun Baharu Cina tempoh hari yang mengingatkan pemimpin gabungan mereka supaya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka bagi mengelakkan kontroversi yang tidak perlu. Ini adalah satu saranan yang wajar, kerana politik yang matang menuntut agar setiap kenyataan yang dikeluarkan adalah berasaskan fakta dan tidak memperbesar isu-isu yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat.
- Net foreign outflow (Aliran Keluar Bersih dana asing) Bursa tidak bersama dengan pelaburan asing (FDI)
- Pasaran saham hanya jual-beli saham syarikat, tiada kaitan dengan
pembangunan industri, perwujudan pekerjaan dan peralihan teknologi
- Sebaliknya, prestasi FDI yang melabur di Malaysia mencatar rekod, iaitu RM254.7 billion sepanjang 9 bulan 2024, peningkatan 10.7% ketimbang tahun 2023, 4753 projek pelaburan ini dijangka mewujudkan 159 ribu pekerjaan kepada rakyat kita. Daripada jumlah ini, RM148 billion disumbang dalam FDI
- Faktor kedua, dana asing ini keluar adalah berpunca daripada dasar Presiden Amerika Syarikat yang baru, Donald Trump. Beliau giat menggunakan ugutan dan tarif untuk mempertahankan kekuatan Amerika Syarikat. Ini mengakibatkan dana seluruh dunia menyalir ke Amerika Syarikat.
○ China – USD 45.7 billion (November 2024)
○ Thailand
○ Indonesia
- Dalam konteks ini, kita juga harus menolak budaya fitnah dan penyebaran maklumat yang tidak tepat di dalam dan luar dewan bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah yang dikeluarkan. Politik yang tidak berlandaskan kebenaran hanya akan membawa perpecahan dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kita semua. Oleh itu, sebagai pemimpin, kita harus bertanggungjawab dalam memastikan bahawa setiap kenyataan yang dibuat adalah adil, berasaskan fakta, dan tidak mengundang ketegangan yang tidak perlu.
Tuan Yang di-Pertua,
- Dalam membicarakan kejayaan negara, saya ingin merujuk kepada pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada tahap ‘A3’ oleh Moody’s Ratings dengan tinjauan stabil. Kejayaan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam melaksanakan pembaruan ekonomi dan fiskal. Moody’s turut mengakui Malaysia sebagai ekonomi paling pesat berkembang dalam kalangan negara penafaran A3, satu pencapaian membanggakan yang wajar kita sokong dengan dasar yang progresif.
- Fokus kepada pelaksanaan Belanjawan 2025 juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mencipta pekerjaan bergaji lumayan. Dengan kadar pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh pada unjuran 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini, kerajaan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur bersepadu dan kepelbagaian ekonomi.
Tuan Yang di-Pertua,
- Keberkesanan dasar kerajaan turut terbukti melalui prestasi kukuh Bursa Malaysia. Prestasi ini didorong oleh pasaran sekuriti, derivatif, dan perniagaan data yang kukuh. Pasaran modal kita terus menjadi platform utama untuk syarikat mengumpul dana, dengan 55 penyenaraian awam permulaan (IPO) yang berjaya mengumpulkan RM7.4 bilion pada tahun lalu. Angka ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara kita.
- Dalam usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara, kerajaan telah melaksanakan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang menetapkan sasaran pengurangan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025. Langkah ini memberi isyarat jelas kepada pelabur antarabangsa bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang stabil dan diyakini.
Tuan Yang di-Pertua,
- Dalam menghadapi cabaran domestik, kita juga harus peka terhadap landskap global yang sentiasa berubah. Keupayaan Malaysia untuk terus berkembang bukan sahaja bergantung kepada dasar domestik yang kuat, tetapi juga kepada kedudukan kita dalam arena antarabangsa.
- Seiring dengan usaha kita memperkukuh ekonomi negara, Malaysia juga perlu bijak dalam menangani cabaran geopolitik yang semakin kompleks. Negara kita sebagai kuasa pertengahan harus memainkan peranan penting dalam menangani ketidaktentuan yang datang dari konflik global dan persaingan kuasa besar.
- Diplomasi kuasa pertengahan Malaysia harus menangani susunan global yang berubah. Pendekatan “America First” di bawah pentadbiran Trump telah melemahkan multilateralisme, meninggalkan institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kurang berdaya untuk menangani cabaran global. ASEAN turut menjadi medan persaingan ini, dengan kedua-dua kuasa besar bersaing untuk pengaruh melalui inisiatif ekonomi seperti Indo-Pacific Economic Framework (IPEF) oleh AS dan Belt and Road Initiative (BRI) oleh China.
- Oleh itu, saya menyokong kuat jawapan YAB Perdana Menteri tempoh hari berkenaan perubahan dasar antarabangsa yang berlaku dengan pantas, seperti keputusan Trump menangguhkan tarif ke atas Mexico dan Kanada pada saat akhir. Pendirian Malaysia untuk mengambil pendekatan terbuka dengan menjalin hubungan ekonomi dengan pelbagai negara termasuk China, Brazil, Afrika Selatan, Ethiopia, Rusia, dan Amerika Latin merupakan suatu keputusan yang amat tepat.
Tuan Yang di-Pertua,
- Tema Kepengerusian ASEAN 2025, “Keterangkuman dan Kelestarian,” mencerminkan komitmen kolektif rantau ini dalam membentuk masa depan yang lebih saksama dan berdaya tahan. Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan integrasi ekonomi, tindakan iklim, kesalinghubungan, dan kesaksamaan sosial dapat diperkukuhkan demi mencapai matlamat yang digariskan dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2025.
- Tahun 2025 menandakan detik penting dalam perjalanan kolektif kita. ASEAN berada di persimpangan perubahan geopolitik, penyusunan semula ekonomi, serta kemajuan pesat dalam teknologi hijau, pendigitalan, dan kecerdasan buatan.
- Sebagai sebuah komuniti yang berasaskan peraturan dan berpaksikan rakyat, ASEAN berusaha untuk mewujudkan sebuah rantau yang damai, stabil, dan berdaya tahan. Kita mahu melihat ASEAN sebagai sebuah rantau yang inklusif dan responsif, di mana rakyatnya menikmati hak asasi manusia, kebebasan fundamental, dan kualiti hidup yang lebih tinggi. Oleh itu, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN harus memberi penekanan terhadap daya tahan ekonomi, kelestarian alam sekitar, serta memperkukuhkan jaringan kerjasama serantau dan antarabangsa.
- Salah satu cadangan penting bagi mengukuhkan integrasi ASEAN ialah penyelarasan zon waktu bagi negara-negara ASEAN. Seperti yang dicadangkan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar baru-baru ini, unifikasi zon waktu ASEAN akan meningkatkan kesalinghubungan ekonomi dan kecekapan dalam urusan perniagaan merentas sempadan. Dengan adanya zon waktu yang lebih seragam, komunikasi dan perdagangan intra-ASEAN dapat dipermudahkan, menjadikan rantau ini lebih berdaya saing di peringkat global. Saya ingin tahu pendirian Kementerian Luar Negeri tentang cadangan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
- Sebagai pemimpin ASEAN tahun ini, Malaysia harus memastikan bahawa prinsip keterangkuman dan kelestarian benar-benar menjadi asas dalam semua usaha yang dijalankan. Kita perlu mengukuhkan daya tahan ASEAN dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, serta isu-isu keselamatan serantau. Dengan memperkukuhkan perpaduan, meningkatkan inovasi, dan memastikan pembangunan yang saksama untuk semua, ASEAN akan terus relevan dan menjadi blok yang dihormati di arena antarabangsa.
- Marilah kita berganding bahu untuk membina ASEAN yang lebih dinamik, mampan, dan berdaya tahan, demi kesejahteraan rakyatnya dan kestabilan rantau ini.
Tuan Yang di-Pertua,
- Prestasi kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tahun 2024 menunjukkan turun naik yang ketara dalam keuntungan bersih, dengan salah satu faktor utama yang mempengaruhi keuntungan syarikat ialah kerugian dan keuntungan pertukaran mata wang asing
(forex).
- Pada suku pertama tahun 2024, keuntungan bersih TNB merosot sebanyak 28.6% kepada RM715.7 juta berbanding RM1 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kerugian terjemahan pertukaran mata wang asing serta perbelanjaan cukai yang lebih tinggi. Namun, pada suku kedua, keuntungan syarikat melonjak lebih empat kali ganda kepada RM1.45 bilion, didorong oleh peningkatan jualan elektrik, keuntungan pertukaran mata wang asing yang menguntungkan, dan kos kewangan bersih yang lebih rendah. Tren ini berterusan pada suku ketiga, di mana keuntungan bersih meningkat 85% kepada RM1.58 bilion, sekali lagi disebabkan oleh keuntungan forex yang besar.
- Corak turun naik ini mencerminkan kepentingan pengurusan forex yang lebih berkesan bagi mengurangkan risiko pendedahan terhadap pergerakan nilai mata wang asing. Dalam konteks yang lebih luas, dana pelaburan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menghadapi cabaran serupa apabila portfolio pelaburan dalam mata wang asing mengalami kerugian terjemahan akibat turun naik pasaran.
- Walaupun setiap institusi menguruskan risiko mereka secara bebas berdasarkan dasar pengurusan risiko masing-masing, usaha yang lebih terkoordinasi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi kewangan boleh memberikan kelebihan dalam mengurangkan risiko pasaran. Ini kerana terdapat kemungkinan wujudnya lindung nilai semula jadi (natural hedge) antara institusi institusi ini. Sebagai contoh, institusi yang mengalami kerugian forex
boleh diimbangi oleh institusi lain yang memperoleh keuntungan daripada pergerakan mata wang yang sama.
- Memandangkan faktor forex memainkan peranan besar dalam keuntungan syarikat dan institusi kewangan, langkah-langkah seperti strategi lindung nilai yang lebih baik, penyelarasan risiko rentas institusi, serta pemantauan aktif terhadap trend pasaran boleh membantu mengurangkan turun naik yang keterlaluan dan memastikan kestabilan kewangan yang lebih mampan. Persoalannya, adakah kementerian kewangan akan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu jawatankuasa untuk menyelaras risiko FOREX rentas GLIC?
- Dalam konteks pengurusan GLIC, mandat pelaburan perlu dikaji semula agar selari dengan matlamat strategik negara tanpa mengorbankan kebebasan membuat keputusan. Singapura menyediakan contoh melalui Temasek Holdings, yang beroperasi secara bebas walaupun dimiliki kerajaan, membolehkannya menumpukan kepada pertumbuhan jangka panjang. Di Malaysia, kebimbangan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban semakin meningkat, terutamanya dengan kontroversi melibatkan pelaburan GLIC dalam syarikat seperti FashionValet dan Aerodyne. Oleh itu, perlu ada penambahbaikan dalam penetapan KPI berdasarkan mandat masing-masing, hubungan antara pencapaian KPI dan imbuhan, serta peningkatan standard pelaporan sejajar dengan amalan Bursa Malaysia untuk meningkatkan pemantauan dan ketelusan. Persoalan saya, adakah Kementerian kewangan akan menyemak semula mandat dan mengemaskini tata kelola GLIC supaya lebih mengikut keperluan terkini?
Tuan Yang di-Pertua,
- Isu terakhir berkaitan isu subsidi minyak masak, saya melihat bahawa mekanisme pengagihannya ketika ini mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Sebagai contoh, ramai rakyat mengadu bahawa mereka yang benar-benar memerlukan tidak dapat membeli minyak masak bersubsidi dalam bentuk paket di pasar raya atau kedai runcit berhampiran. Keadaan ini membebankan golongan berpendapatan rendah yang amat bergantung kepada subsidi ini untuk keperluan harian mereka.
- Lebih membimbangkan, saya telah dimaklumkan oleh pegawai saya bahawa terdapat pembekal bantuan bakul makanan yang menghadapi kesukaran mendapatkan minyak masak bersubsidi pada harga kawalan. Sebaliknya, mereka terpaksa membeli daripada pihak tertentu, termasuk warga asing, dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran. Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kawalan kerajaan dalam memastikan subsidi sampai kepada golongan bersasar.
- Saya ingin memuji inisiatif kerajaan dalam melaksanakan Jualan Rahmah, yang membolehkan rakyat mendapatkan minyak masak paket dengan lebih mudah. Namun, kelemahan masih wujud kerana terdapat segelintir individu yang sanggup beratur lebih daripada dua kali untuk mengatasi had pembelian dua peket seorang. Perkara ini menunjukkan ketidaksempurnaan dalam pelaksanaan dasar tersebut dan perlu diperhalusi agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat yang layak.
- Menurut laporan yang saya baca, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion pada tahun 2023 untuk subsidi minyak masak bersubsidi, dengan jumlah agihan sebanyak 60 juta peket sebulan. Namun, adakah perbelanjaan sebesar ini benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan? Saya percaya, lebih baik sekiranya subsidi ini diagihkan terus dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada penerima yang layak. Penjimatan RM1.6billion ini membolehkan kerajaan membantu 2.6juta isi rumah untuk menikmati bantuan RM50-RM200 sebulan bagi membeli barangan keperluan asas. Dengan ini mereka yang layak akan menerima RM50 sebulan. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan ketirisan, malah memberi lebih fleksibiliti kepada penerima untuk membeli barangan keperluan mengikut keperluan sebenar mereka.
- Justeru, saya menyarankan supaya kerajaan mengkaji semula mekanisme subsidi minyak masak ini dan memastikan penyasaran yang lebih baik supaya hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan ini.
Tuan Yang di-Pertua,
- Seterusnya, saya ingin membawa perhatian dewan kepada isu ekonomi negeri Kelantan. Berdasarkan data, hasil kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS/PN telah menurun daripada RM983.4 juta pada tahun 2022 kepada RM824.7 juta pada tahun 2023. Sektor pembuatan pula hanya menyumbang 4.6% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dengan nilai RM1.3 bilion, menunjukkan tren penurunan sebanyak 2.6%. Johor 30%, Selangor 30%, Pulau Pinang 46.5%. Angka ini membuktikan bahawa ekonomi negeri Kelantan tidak berkembang seiring dengan keperluan rakyat dan perubahan semasa.
- Kelantan sebenarnya berpotensi besar untuk menjadi hab makanan halal di Malaysia, seperti yang dibuktikan oleh kejayaan usahawan tempatan seperti Khairul Aming, yang telah membangunkan industri makanan secara efektif dengan penubuhan kilang pembuatan di negeri tersebut. Ini bukan sahaja membuka peluang eksport yang lebih luas, tetapi juga membantu menjana ekonomi negeri melalui penciptaan peluang pekerjaan bagi rakyat Kelantan.
- Dengan kehadiran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam masa terdekat, kerajaan negeri Kelantan bersama barisan ahli parlimennya seharusnya memanfaatkan peluang ini untuk menarik pelaburan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya, mereka tidak seharusnya terus bermain politik sempit yang hanya menyemai kebencian terhadap kerajaan persekutuan melalui pelbagai tohmahan dan fitnah.
- Saya juga ingin mengingatkan kepada pihak pembangkang bahawa seperti yang telah dinyatakan oleh Pengerusi Perikatan Nasional sendiri, menyemak fakta itu adalah percuma. Oleh itu, lebih baik menumpukan kepada dasar dan pembangunan negeri daripada menghabiskan sumber untuk membayar saman di mahkamah.
- Selain itu, saya ingin bertanya apa sudah jadi kepada inisiatif SG4 yang dilaung-laungkan? Jika benar kerajaan negeri yang dipimpin oleh Perikatan Nasional serius dalam membawa perubahan, maka mereka sepatutnya fokus kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat negeri masing-masing sebelum bercita-cita untuk mengambil alih kerajaan persekutuan. Saya berharap agar ahli-ahli parlimen pembangkang yang hadir dalam dewan yang mulia ini dapat memainkan peranan mereka dengan lebih bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
- Dengan langkah-langkah ini, kita akan dapat membina sebuah Malaysia yang lebih adil, mampan, dan sejahtera, di mana setiap rakyat mempunyai peluang untuk berjaya.
Tuan Yang di-Pertua,
Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:
Bunga raya mekar di taman,
Indah berseri menarik hati.
Malaysia maju dengan perpaduan,
Rakyat sejahtera hidup harmoni.
Sekian sahaja ucapan perbahasan saya. Saya menjunjung penuh titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Saya mohon menyokong.