Saya ingin menarik perhatian dewan bahawa ini bukan sekadar krisis berkaitan eksport kita ke Amerika, tetapi ancaman serius kepada tata kelola antarabangsa yang sebelum ini membolehkan negara-negara sedang membangun untuk memanjat tangga pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan perusahaan, serta meningkatkan taraf hidup Malaysia sepanjang 60 tahun ini.
Ekonomi AS menguncup sebanyak 0.3 peratus pada suku pertama 2025, sebelum Trump mengumumkan tarif tinggi terhadap rakan dagangan utama AS pada 2 April. Kejutan tarif ini dijangka akan menjerumuskan ekonomi global yang sudah lembap ke dalam kemelesetan menjelang hujung tahun ini.
Maka saya menggesa ahli dewan supaya segera melengkapi diri dengan rasa keterdesakan – sense of urgency. Kita perlu bersatu hati dalam dewan ini – tidak kira ahli kerajaan atau pembangkang, untuk bersama membicarakan strategi yang
menyeluruh – strategi yang menghubungkan reaksi segera kita dengan matlamat jangka panjang tanah air tercinta kita.
Tan Sri yang Dipertua,
Sering kali kita mendengar bahawa tarif Trump tidak akan terlalu menjejaskan Malaysia kerana akhirnya beliau akan mengekalkan tarif hanya terhadap China sahaja. Itu adalah satu kesilapan tanggapan yang serius.
Hakikatnya, pemisahan ekonomi secara mendadak antara dua kuasa besar dunia – yang bersaiz hampir sama dan saling bergantung dalam rantaian bekalan global yang kompleks ini – sudah cukup untuk menolak kedua-dua blok dalam kemelesetan. Malangnya, kedua-dua mereka adalah dua rakan dagangan terbesar Malaysia. Tambahan, impak “second order”, iaitu lambakan barangan dan kelembapan ekonomi selepas tembok tarif didirikan antara Amerika dan China, adalah serius dan skala yang tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia.
Malaysia berisiko tinggi mengalami kelembapan ekonomi pada 2025, ataupun lebih teruknya, kemelesetan. Ini adalah kerana pendapatan negara amat bergantung kepada perdagangan, iaitu lebih 130% daripada KDNK, antara yang tertinggi di Asia. Selain itu, eksport Malaysia juga menyumbang 65% daripada KDNK pada 2023 – lebih tinggi daripada penggunaan swasta yang hanya berjumlah 60%.
Dalam situasi kritikal ini, respon Malaysia tidak boleh bersifat reaktif atau sempit. Ia mesti berteraskan reformasi untuk membina ketahanan jangka panjang.
Di sini saya mencadangkan 5 langkah untuk merangsang ekonomi:
- Menawarkan insentif khusus bagi penarikan pelaburan high-tech kerana negara-negara lain seperti Thailand dan Vietnam menawarkan pakej yang menarik. Mereka akan cabut lari atau tidak datang ke Malaysia sekiranya kita tidak bertindak cepat. Daripada pengecualian cukai kepada MNC, saya cadang supaya kita menggantikan dengan subsidi gaji 50% kepada pekerjaan-pekerjaan yang bernilai tinggi seperti jurutera, selama 2 hingga 3 tahun.
- Memperketat dasar kandungan tempatan dalam perolehan GLC, dan meminta GLC membuka ruang pelaburan kepada pelabur swasta tempatan dan asing.
- Memecah sistem perbankan yang bersifat monopoli dengan mengeluarkan lagi 2 hingga 3 lesen bank untuk memenuhi keperluan SME.
- Mempercepatkan penubuhan pusat sehenti dalam kelulusan projek, seperti yang terbukti berkesan di Johor Singapore Special Economic Zone (JSSEZ).
- Mengambil kesempatan ini untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah.
SME Sebagai Nadi Negara
Dalam perbahasan hari ini, saya juga ingin bersuara secara khusus untuk kelompok yang merupakan wira yang tidak didendang – iaitu Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) kita. Keadaan rantaian perbekalan global yang kian terputus-putus bakal memusnahkan ribuan SME kita yang merupakan pembekal atau vendor kepada MNC yang mana berisiko berpindah dari Malaysia. SME ini memerlukan pasaran, jaminan kredit serta sokongan peralihan perniagaan mereka dalam saat-saat kritikal ini. Kalau
- Mewujudkan Dana Penampan Tarif PKS (SME Tariff Relief Fund) untuk pembiayaan berfaedah rendah dan subsidi kepada syarikat yang terjejas bagi menampung kos bahan mentah, proses transformasi atau pelan pelarasan pasaran.
- Perlu juga ada Geran Penyesuaian Pasaran Eksport yang memberi geran serta sokongan teknikal melalui MATRADE bagi membantu syarikat menembusi pasaran alternatif seperti ASEAN, Timur Tengah dan EU.
- Kerajaan juga perlu mempertimbangkan penangguhan pembayaran cukai pendapatan dan SST untuk tempoh enam bulan demi membantu aliran tunai syarikat kekal stabil.
kita tidak buat apa-apa, ramai antara mereka akan lingkup dan tutup kedai, puluhan ribu pekerjaan akan musnah, dan sukar untuk kita membina semula kekuatan jentera perusahaan tersebut pada masa akan datang.
Saya mencadangkan supaya:
Tan Sri Yang Dipertua,
Reformasi struktur kerajaan perlu dijalankan supaya langkah-langkah tersebut boleh tercapai. Pertama, meletakkan SME Corp semula daripada KUSKOP kepada MITI supaya MITI boleh mengesan, mengikuti perkembangan serta membantu SME secara langsung dan lebih berkesan.
Menambahkan belanjawan MITI supaya dapat memperkasakan MATRADE untuk membantu SME mencari dan menembus pasaran baru, serta berupaya menjalankan
kerja-kerja penguatkuasaan seperti sisatan anti lambakan dan salahguna sijil tempasal (certificate of origin).
Reformasi Tenaga Boleh Diperbaharui
Selain itu, saya juga ingin menyentuh satu industri strategik yang dapat memacu pembangunan negara kita, iatu bidang Tenaga Boleh Diperbaharui (RE). Saya mencadangkan menilai semula syarat pemilikan ekuiti tempatan, khususnya dalam program seperti Large Scale Solar atau LSS. Pada masa ini, keperluan pemilikan 51% oleh rakyat Malaysia menghadkan kemasukan modal asing secara langsung. Kita boleh mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat ini secara berperingkat, misalnya bagi projek berskala besar melebihi 100 megawatt, atau dengan memperkenalkan sistem berperingkat yang memberi lebih fleksibiliti jika kandungan tempatan dalam EPC dan O&M adalah tinggi.
Selain itu, kita harus memodenkan dasar berkaitan tanah dan pelesenan. Bayangkan jika kita dapat memperkenalkan portal digital berpusat dibawah MIDA atau ST yang menyenaraikan zon-zon tenaga boleh baharu yang telah diluluskan lebih awal dengan proses sewaan dan penukaran status tanah yang lebih pantas. Ini pasti akan menjimatkan masa dan kos pelabur .
Kita juga tidak boleh menafikan keperluan untuk mempercepatkan integrasi teknologi grid dan penyimpanan tenaga. Dengan liberalisasi pemilikan sistem penyimpanan tenaga seperti BESS dan Pumped Hydro, dan dengan insentif yang sesuai, kita boleh
memanfaatkan potensi penuh tenaga boleh baharu tanpa gangguan kepada kestabilan grid.
Seterusnya, sudah tiba masanya Malaysia menggubal dasar khusus untuk tenaga angin persisir pantai. Ini adalah bidang baharu yang berpotensi tinggi, dan kerajaan boleh menetapkan peraturan pemilikan, dasar sewaan laut, dan kelulusan alam sekitar untuk menarik pelabur tempatan dan global.
Akhirnya, ketelusan dan kepastian dasar juga adalah kunci. Kita harus memperkenalkan kalendar tender lima tahun yang berkala, sesi konsultasi awam yang terbuka, dan pusat sehenti untuk membimbing pelabur asing dalam proses pelesenan dan penyambungan grid.
Kedudukan Malaysia dalam Susunan Global Baru
Bagi kuasa sederhana, kos untuk berurusan dengan kuasa-kuasa besar semakin mencabar apabila tanda-tanda Perang Dingin 2.0 semakin jelas.
Jangan sesekali memandang remeh kesan daripada era Perang Dingin, meskipun ramai antara kita dalam dewan ini tidak pernah melalui zaman tersebut. Ianya bererti konflik melalui proksi semakin banyak, pengeratan hubungan dengan kuasa besar sering kali membawa kepada penjejasan kedaulatan. Lebih memudaratkan, akses kepada pasaran global semakin mengecil.
Alternatif yang PALING wajar ialah membentuk satu gabungan autonomi yang berfungsi sebagai zon penampan. Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025 telah diberi peranan bersejarah yang amat penting untuk memulakan pembentukan gabungan autonomi yang berfungsi sebagai zon penampan demi keamanan antarabangsa.
Namun, ZOPFAN 2.0 ini tidak harus terhad kepada ASEAN. ASEAN tidak seharusnya hanya melihat ke Global South untuk membina gabungan ini. ASEAN juga mesti mengelakkan supaya situasi bipolariti AS-China tidak bertukar menjadi bipolariti Utara-Selatan.
Maka, ASEAN memerlukan gabungan dari Asia dan Europah, serta dari negara-negara selatan dan utara global. Jepun, Korea dari Asia, UK, EU dari Europah, dan ASEAN, akan menjadi rakan stategik dalam gabungan ini yang tidak ingin menjadi mangsa atau alat pajakan dalam pertempuran dua kuasa besar ini.
Gabungan baru ini akan merangkumi 1.3 bilion populasi, dan KDNK sebanyak USD31.7 trilion, lebih banyak daripada US (USD27.4 trilion) dan China (USD17.8 trilion). Ini juga peluang keemasan ASEAN sebagai strategic maker untuk membebaskan ikatan Perang Dingin 2.0, serta menggantikan konfrontasi kepada kerjasama multilateralisme yang dibentuk melalui gabungan baru ini.
Rumusannya, kita harus mencari peluang dalam cabaran krisis ini untuk mereformasikan karenah birokrasi yang lapuk, menyusun semula struktur ekonomi supaya lebih mementingkan mutu pekerjaan daripada tanda ukur KDNK, dan melihat
ke luar bahawa bagaimana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, cuba memainkan peranan pendamai yang konstruktif serta berimpak dalam pentas dunia ini.
Pagi cerah burung berserik,
Hinggap seketika di dahan nipis;
Jangan gentar pada tarif yang naik,
Dalam cabaran ada peluang manis.
Sekian. Terima kasih.